suria

Tak Betul 'Ikan Naik Sendiri' Ke Pantai

KOTA TINGGI: Orang ramai dinasihati supaya tidak mengaitkan kejadian ikan terdampar di pantai Tanjung Sedili, di sini, yang menjadi tular, dengan kejadian bencana yang kononnya bakal berlaku di kawasan itu.

Ketua Kampung Tanjung Sedili Ibrahim Yahaya berkata kejadian ikan terdampar seperti ditularkan menerusi gambar memang benar berlaku, namun ia bukanlah disebabkan ikan tersebut 'naik sendiri' ke pantai, sebaliknya hasil nelayan memukat.

Ibrahim berkata gambar tersebut dirakam pada Selasa lepas di Pantai Telok Mahkota dan bagi penduduk tempatan ia bukanlah sesuatu perkara yang baharu.

"Semalam, saya tinjau ke lokasi itu, saya lihat sudah tidak ada ikan yang terdampar. Ikan-ikan ini sebenarnya adalah sisa daripada tangkapan nelayan yang memukat.

"Kebanyakan udang dan ikan bersaiz besar sudah diambil nelayan dan yang tinggal hanyalah anak ikan serta ikan bersaiz kecil yang tidak boleh dikomersialkan," katanya di sini Khamis.

Ibrahim berkata mereka yang memukat ikan berkenaan bukannya terdiri daripada orang tempatan sebaliknya orang luar.

"Apabila hasil pukat ditarik ke pantai dan terlalu banyak ikan kecil, mereka pun tinggalkan sahaja. Apabila tular kejadian ikan bersepah di pantai, mereka cakap ikan 'naik' ke pantai pula, tetapi ia tidak benar," katanya.

Menurut Ibrahim, dia menerima pelbagai pertanyaan daripada masyarakat luar berhubung kejadian tular berkenaan dan bagi penduduk tempatan, tiada sebarang perkara pelik berlaku sebaliknya ia adalah biasa berlaku selepas nelayan memukat.

"Saya sudah tinggal di sini (Kampung Tanjung Sedili) berpuluh tahun. Saya tidak pernah jumpa kejadian ikan naik sendiri ke darat.

"Kejadian ini bukanlah sekali berlaku, malah sejak dahulu lagi cuma bezanya dahulu tidak ditularkan. Zaman ini zaman teknologi, sekejap sahaja sudah tular tetapi apa yang diperkatakan itu tidak benar," tegasnya. -Bernama

Tanjung Sedili, ikan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain