suria

Pentingnya Keperluan Diri Jemaah Wanita

ASSALAMUALAIKUM. Lazimnya, ramai jemaah, terutama wanita bertanya barangan yang perlu dibawa ke Tanah Suci sama ada untuk menunaikan umrah mahupun haji. Biarpun kadangkala keperluan sudah dimaklumkan oleh agensi pengendali tetapi ada yang alpa dan sering bertanya demi kepuasan diri.

Jemaah wanita selalunya membawa lebih banyak barang berbanding jemaah lelaki. Segala kelengkapan, penjagaan serta dandanan tetap menjadi keutamaan jemaah wanita walaupun berada di Tanah Suci.

Berbeza dengan jemaah lelaki mungkin tidak terlalu banyak yang perlu dibawa kecuali kain ihram yang tebal dan memenuhi ruang di dalam bagasi.

Jika menunaikan umrah, keperluan tidak begitu banyak kerana tempoh beribadat hanya kira-kira 10 atau 12 hari tetapi berbeza dengan ibadat haji yang menuntut jemaah memikirkan pelbagai barangan mustahak yang perlu dibawa.

Berapa helai telekung hendak dibawa? Tudung pula berapa helai perlu dibawa? Hendak bawa tuala dan peralatan penjagaan diri ke? Sesuaikah mencuci pakaian di dalam hotel penginapan? Kasut macam mana perlu dipakai? Itu antara pertanyaan lazim yang sering dibangkitkan oleh jemaah.

Jawapan saya mudah saja, dua helai telekung malah memadai sehelai jika anda lebih cenderung memakai tudung labuh untuk bersolat dan berziarah. Saya selalunya hanya membawa sehelai telekung kerana lebih selesa bertudung labuh ketika ziarah dan bersolat di masjid. Lazimnya, saya membawa lima helai tudung labuh.

Dalam masa yang sama pastikan, anda membawa lima atau enam pasang sarung lengan apatah lagi jika memilih untuk bertudung labuh. Usah diabaikan pemakaian stoking kerana kaki juga aurat.

Justeru, bawa lima atau enam pasang stoking tebal, sebaik-baiknya berwarna gelap. Elak menggunakan stoking jarang kerana ia masih mendedahkan aurat anda dan usah terikut-ikut dengan cara berpakaian jemaah dari negara lain kerana mazhab mereka berbeza.

Sebelum mengenakan stoking, pastikan ia tidak terkoyak atau berlubang kerana keadaan ini berlaku, sekali gus menyebabkan solat anda tidak sah.

Jika anda selesa berseluar dalam pakai buang, sebaik-baiknya bawalah bersama kerana ia boleh digunakan di Arafah dan Mina, kedua-dua tempat yang tidak membolehkan anda mencuci pakaian kerana kegunaan tandas begitu terhad.

Di Tanah Suci, ramai juga jemaah wanita dari Malaysia berniqab untuk mengelakkan habuk dan pasir. Justeru, anda boleh membelinya di bazar di sekitar Makkah atau Madinah yang berharga SR10 sehelai dan boleh dipakai ketika berziarah dan berjalan ke masjid. Namun begitu, pastikan anda tidak mengenakan niqab ketika di dalam ihram.

Anda juga digalakkan supaya membawa penyangkut pakaian atau hanger, sama ada untuk menyidai baju kering atau basah. Jika terlalu penat, hantar saja baju ke dobi tetapi jika ada masa dan tempat di dalam bilik, anda boleh mencuci pakaian sehelai demi sehelai.

Elak mencuci pakaian secara bertimbun kerana ini boleh menimbulkan ketidakselesaan rakan sebilik yang sudah semestinya mahu mencuci pakaian juga. Sehelai jubah selalunya berharga SR10 jika dihantar ke dobi dan ia siap dicuci dan digosok.

Khidmat dobi sangat mudah diperoleh di Tanah Suci tetapi harganya berbeza di antara Madinah dan Makkah. Khidmat dobi lebih murah di Madinah. Jubah yang bermanik kosnya lebih tinggi, kadangkala boleh mencecah sehingga SR12 atau SR15 sehelai.

Sebaik-baiknya bawa tuala kecil atau face towel dan kain batik sebagai menggantikan tuala yang kadangkala tidak diletakkan di dalam bilik penginapan. Ada juga hotel yang lewat menghantar tuala dan boleh menimbulkan kemarahan jemaah.

Justeru, untuk mengelak keadaan ini, bawa sendiri tuala mandi atau kain batik yang boleh digunakan untuk mengelap. Kain batik basahan juga boleh digunakan untuk mandi. Jika tiada kain batik, gunakan kain dalam untuk mandi.

Ubat-ubatan yang sedia dimakan atau dibekalkan oleh doktor usah diabaikan. Pastikan anda mengambilnya seperti diarahkan oleh doktor selain menjaga pemakanan. Jangan pandang ringan pantang larang yang ditetapkan jika anda berpenyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, lelah yang kronik dan gout.

Pengambilan vitamin dan suplemen boleh membantu menyihatkan tubuh dan melancarkan lagi pergerakan harian anda ketika di Tanah Suci. Pastikan anda minum banyak air, terutama air zamzam yang tidak sejuk.

Oleh sebab jemaah perlu banyak berjalan kaki sepanjang di Tanah Suci, terutama ketika hendak melontar jamrah, pakailah kasut atau sandal bersesuaian. Tidak semestinya kasut mahal atau berjenama tetapi yang penting ia tidak menyebabkan anda sakit kaki atau kasut menggigit jari-jemari kaki anda sehingga menyulitkan pergerakan.

Ada jemaah hanya memakai sandal untuk melontar dan ada juga yang berkasut sukan atau olahraga. Saya mengenakan kasut yang sering digunakan dan sudah dipakai lasak. Sebaik-baiknya bawalah dua pasang kasut atau sandal. Selipar jepun juga elok dibawa ke Arafah dan Mina untuk kegunaan ke tandas.

Selain itu, keperluan lain yang mungkin jarang dibawa adalah kipas kecil berkuasa bateri, yang boleh digunakan di dalam khemah di Arafah dan Mina, apatah lagi ketika ini cuaca di Tanah Suci bakal mencecah sehingga 50 darjah Celsius.

Kipas tangan juga boleh dibawa untuk menghilangkan kepanasan kerana kipas berkuasa bateri juga akan menjadi berhawa panas jika dibuka terlalu lama. Payung juga sangat sesuai digunakan. Sebagai persediaan, anda boleh beli payung di pasaraya di dalam hotel bertaraf lima bintang di sekitar Makkah atau jika berkesempatan, dapatkan di sekitar kedai kecil di kawasan luar khemah di Mina sebelum anda pergi melontar.

Selain itu, bekalan makanan terutama di khemah di Arafah dan Mina yang seringkali ala kadar menyebabkan jemaah juga wajar membawa sedikit makanan dari tanah air untuk menambah selera seperti serunding daging atau ayam, ikan bilis, sambal kering tempe dan paru garing.

Makanan itu boleh dikongsi bersama-sama jemaah lain kerana sebahagian besar jemaah pasti membawa sedikit bekalan untuk membangkitkan selera.

InsyaaAllah bersambung minggu depan.

niqab, ihram

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain