SIMPANG RENGGAM: Seorang ibu terpaksa memikul tanggungjawab seorang diri menjaga tiga anaknya selepas suaminya, Sulaiman Mohd Ali, 43, meninggal dunia di tempat kerja pada 5 Ogos lalu. Nur Umi Sabtu, 29, berkata, dia seolah-olah hilang segalanya kerana suami pergi sekelip mata dan dia pula hanya suri rumah sepenuh masa. Menurutnya, semasa hari kejadian, suaminya tidak menunjukkan apa-apa perubahan dan keluar bekerja seperti biasa sehinggalah jam 9 malam dia dimaklumkan Allahyarham jatuh di tempat kerja dan meninggal dunia. “Tak tahu nak gambarkan perasaan masa tu macam mana sebab berlaku macam tu saja. Anak-anaklah jadi penguat semangat saya untuk teruskan hidup. “Saya akan pegang amanat arwah suami yang mahu anak-anak sentiasa diberikan perhatian dan berjaya dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah ibunya di Jalan Mangkok di pekan Machap, di sini, Khamis. Nur Umi berkata, buat masa ini dia hanya memberi sepenuh perhatian kepada tiga anaknya yang berusia 3 hingga 8 tahun. Katanya, memang hasratnya ingin bekerja, namun terpaksa dipendam dahulu berikutan anak-anaknya masih kecil. “Mungkin lepas anak-anak dah besar sikit baru saya bekerja. Saya kena kerja juga untuk sara kehidupan kami. Tapi buat sementara waktu ini saya tinggal dengan ibu di pekan Machap kerana masih sedih dan tak boleh nak fikir apa-apa lagi. “Sebelum ini saya menyewa di Taman Renggam Jaya. Tak sanggup nak lihat kenangan bersama arwah di rumah itu sekarang," katanya. Menurut Nur Umi, ketika ini ahli keluarga dan adik-beradiknya banyak membantu menguruskan apa yang perlu sementara dia pula hanya menumpukan persekolahan anaknya yang kini berada di darjah dua dan prasekolah. “Buat masa ini saya terpaksa ulang-alik ke pekan Simpang Renggam untuk hantar dan ambil mereka dari sekolah. Saya cadang nak tukarkan mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Machap tahun depan. Dekat sikit nak ambil mereka,” katanya. Terdahulu, ibu tunggal itu menerima kunjungan daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Kluang yang menyampaikan cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000. Hadir menyampaikan bayaran itu, Pengurus Pejabat Perkeso Kluang, Zainurin Zakaria dan Pembantu Khas kepada Adun Layang-Layang, Aniza Khamis. Zainurin berkata, selain bayaran FPM, Nur Umi dan tiga anaknya juga akan menerima bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM1,800 sebulan. “Bayaran FOT ini akan dibayar sepanjang hayat untuk Nur Umi manakala bagi tiga anaknya akan dihentikan apabila usia mereka mencecah 21 tahun atau telah menamatkan pelajaran di peringkat ijazah pertama. “Diharapkan dengan bayaran ini dapat membantu keluarga ini meneruskan kehidupan mereka pada masa akan datang dan bayaran FOT tetap akan diteruskan walaupun Nur Umi mendirikan rumah tangga bersama orang lain,” katanya.