BANDAR BAHARU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat meminta rakyat khususnya anggota Umno supaya tidak membiarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersendirian dalam menghadapi pelbagai tohmahan yang dilemparkan pembangkang. Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno dan menggalas tugas-tugas Timbalan Presiden berkata usaha perdana menteri berdepan tindakan sedemikian daripada pembangkang walaupun membawa pembangunan dan kemajuan termasuk transformasi dalam pelbagai bidang demi memanfaatkan rakyat. "Jangan biarkan perdana menteri kita berseorangan, kita kena bangun untuk tentukan bahawa apa yang dilakukan beliau adalah untuk kebaikan rakyat dan anggota Umno di seluruh negara," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu di Dewan Seri Serdang di sini. Turut hadir Ketua Umno bahagian merangkap Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta Anggota Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abd Rahim. Ahmad Zahid berkata memandangkan bekas pemimpin utama Umno yang menerajui serangan terhadap parti itu, semua anggota UMNO perlu memastikan bekas pemimpin itu tidak lagi relevan dalam politik di negara ini. "Kita mesti tentukan bahawa Umno dan Barisan Nasional dipimpin oleh mereka yang ada ketika ini," katanya.