SUBANG JAYA: Pasaraya Mydin terus diserbu dan menjadi tumpuan orang ramai kerana tarikan diskaun dan harga istimewa serendah 6 sen di setiap cawangannya di seluruh negara sempena sambutan ulang tahun ke-60 pasar raya itu. Tinjauan Sinar Harian di Pasaraya Besar Mydin USJ, Subang Jaya mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan mereka dengan potongan harga istimewa yang ditawarkan. Seawal jam 12 tengah hari, orang awam dilihat mula membanjiri kawasan pusat jualan disini malah pertambahan bilangan kenderaan juga telah menyebabkan berlaku sedikit kesesakan di ruang parkir. Antara barangan yang dijual dengan harga serendah 6 sen hingga 60 sen adalah sayur-sayuran, mee kuning, nasi lemak, ikan patin, nanas dan lain-lain lagi. Ketua Bahagian Komunikasi & Pemasaran Jenama Mydin, Sabariah Mohd berkata, setakat ini, pihaknya merasa amat teruja dengan sambutan diterima daripada orang ramai yang menyambut baik promosi harga ditawarkan bersempena ulang tahun Mydin ini. Orang ramai menebus hadiah dengan berswafoto bendera Malaysia menggunakan keratan akhbar Sinar Harian. “Promosi yang dijalankan ini amat berkesan sekali dengan peningkatan jumlah pelanggan yang meningkat hingga dua kali ganda dari biasa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Sabariah berkata, selain tawaran harga hebar, sambutan ulang tahun ke-60 Mydin juga dimeriahkan dengan penganjuran pelbagai acara dan aktiviti menarik khas buat pelanggan setia Mydin sepanjang lima bulan sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka selama ini. Belaiu berkata, bagi program kesetiaan pelanggan, Mydin telah mengambil inisiatif mengeluarkan edisi terhad Kad Meriah yang boleh didapati dengan harga hanya RM6. “Saya mengajak orang ramai untuk terus mengunjungi dan membeli belah di gedung borong Mydin untuk harga lebih menjimatkan di samping promosi menakjubkan,” katanya. Selain daripada menawarkan promosi potongan harga hebat buat para pelanggan, Mydin turut menganjurkan kempen Raise The Flag bagi menyambut bulan kemerdekaan tidak lama lagi. Menerusi kempen ini, konsep unik diperkenalkan Mydin di mana pelanggan perlu berswafoto bersama bendera Malaysia berbentuk origami yang boleh didapati secara eksklusif di akhbar Sinar Harian dan The Star sejak 18 Ogos lalu. Menariknya, pelanggan setia Mydin yang memuat naik gambar swafoto mereka bersama bendera Malaysia di laman sosial Instagram bakal memperoleh peluang untuk menebus pelbagai barangan menarik di Mydin. Mengenai pelaksanaan kempen itu, Sabariah berkata, sambutan amat baik baik khususnya dari kalangan pelajar sekolah dan orang ramai. “Alhamdulillah, semangat rakyat Malaysia dalam mengibarkan bendera masih tebal di hati mereka,” katanya. Dari segi penebusan hadiah, Sabariah berkata, orang ramai telah mula menebus sejak kempen itu dilancarkan pada Jumaat lepas. Chan Weng Kit,46 bersama anaknya, Chan Yanjo,9, menyiapkan bendera Malaysia menggunakan keratan akhbar Sinar Harian untuk mendapatkan hadiah. “Kami di pihak Mydin mengucapkan terima kasih kepada Nestle di atas tajaan barangan penebusan ini. “Kami jangkakan minggu ini akan ramai orang bakal hadir bagi membuat penebusan,” katanya. Beliau berkata, pihaknya juga berharap seluruh rakyat Malaysia akan turut serta dalam kempen ini serta dapat menunjukkan rasa hormat terhadap bendera negara. Menurutnya, kempen ini diharap dapat mengekalkan dan mewujudkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat yang dilihat semakin suram kebelakangan ini.