suria

Kanak-Kanak Maut Tercekik Biji Longan

- Gambar hiasan

BACHOK: Seorang murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kandis meninggal dunia dipercayai tercekik biji buah longan di rumahnya di Kandis di sini, Ahad.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, Nor Aina Fariha Mohd Fadzil dikatakan memakan buah longan yang dibeli ibu bapanya di sebuah gerai berdekatan rumah mereka ketika pulang daripada bekerja petang semalam.

Menurut bapa mangsa, Mohd Fadzil Mohamad, 36, anak kedua daripada tiga beradik itu sudah makan banyak buah longan sebelum meminta sebiji lagi untuk dimakan.

Katanya ketika dia sedang bersiap untuk solat Maghrib, Nor Aina memintanya mengupas sebiji lagi buah longan untuk dimakan.

"Tidak berapa lama kemudian dia datang kepada saya dengan suara tersekat-sekat memberitahu dia tercekik biji buah longan berkenaan, " kata Mohd Fadzil kepada pemberita Isnin.

Setelah mencuba pelbagai cara untuk mengeluarkan biji buah longan itu namun gagal, dia segera membawa anaknya itu ke Klinik Kesihatan Bachok dan sebaik tiba di klinik berkenaan, doktor memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia.

Mohd Fadzil berkata jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Jawa dekat Teratak Pulai di sini, pada pukul 11.30 pagi ini.

"Saya terkejut dengan pemergian anak saya ini kerana arwah seorang anak yang ceria. Tak sangka permintaannya untuk makan sebiji lagi buah longan buat kali terakhir rupa-rupanya petanda dia akan pergi selama-lamanya, " katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok DSP Nik Aminuddin Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. -Bernama

tercekik, biji longan

Artikel Sebelum