suria

“Asal Mari Mana Ni Nama Pelik?”

Latipah menunjukkan namanya kini ada dalam satu kad pengenalan sahaja, dulu dua kad pengenalan. Foto SINAR ONLINE

“YANG baiknya nama panjang, orang mudah ingat kita ini siapa, tetapi ada juga yang tak baiknya, terpaksa ‘ditemu bual’ untuk urusan rasmi,” ujar Khamsaturra-Piaatol-Lati-Latipah Abdul Rahman, 53.  

Menyebut nama penuhnya, ramai mata melilau mencari empunya badan. Pasti terdetik di hati “Siapalah ni, nama panjang sangat, pelik sungguh!”.  

Itu reaksi biasa, namun bagi empunya nama panjang yang mesra dipanggil Latipah ini, dia tidak lagi kekok, tidak lagi marah seperti dulu, tetapi kini dia gembira.

"Sekurang-kurangnya, ada juga perkara orang boleh ingat kepada saya, hanya kerana nama dan saya anggap ini adalah ‘hadiah istimewa’ daripada arwah Chek (panggilan untuk ayahnya),” katanya.  

Menyingkap sejarah tercetus namanya yang pelik, Latipah berkata, Allahyarham bapanya, Abdul Rahman Besar dan Allahyarham ibunya, Zainab Ismail semasa hayatnya pernah bercerita bagaimana nama unik itu diperoleh.

“Chek jawab, masa cari nama tu dulu, menjadi amalan orang di Kelantan mencari nama yang berkat dari ulama atau tok guru.

“Chek pergi rujuk tok guru pondok, Tok Guru Haji Daud Bukit Abal. Kata Chek, kebetulan ketika itu, cucu tok guru tu juga baru lahir, dia letak nama ‘Khamsaturra Piaatol Lati Latipah’, jadi Chek pun berkenan nama ini, letak nama untuk saya.

“Maksud nama penuh saya tak tahu, tapi yang saya tahu, Chek kata, ‘Khamsa’ tu maksudnya lima, jadi Chek letak nama ini sebab saya anak kelima (anak bongsu), manakala maksud Latipah itu pula lemah-lembut,” katanya yang juga ketua tukang masak di Maahad Tahfiz Daril Naim, Kampung Kubang Bongor, Padang Kala Melor sejak 13 tahun lalu.


Suami hafal nama sebelum akad nikah

Suami Latipah, Ismail berkata, sebelum akad nikah, dia memang menghafal betul-betul nama isterinya.

“Dulu gerun tengok namanya ada dalam dua kad pengenalan. Panjang dan agak susah sebut, tetapi demi kasih sayang, Alhamdulillah akad itu hanya sekali lafaz,” ujarnya ketawa.

Dalam pada itu, Latipah turut berpesan kepada ibu bapa yang baru dapat anak supaya menamakan anak dengan nama pendek, mudah ingat dan indah maksudnya.

“Nama pendek lagi mudah, senang untuk anak itu dan mudah untuk semua orang,” katanya.  

Satu yang menjadi kenangan dalam hidupnya mengenai nama unik yang dimiliki, Latipah berkata, pada 2008, anak saudaranya mendengar radio Sinar FM yang mana ketika itu Salleh Yaacob menjadi deejay.

“Anak saudara telefon minta saya hubungi Sinar FM sebab katanya, mengikut kajian yang dicari pihak radio, nama panjang ini menjadi rekod nama panjang di negara ini.

“Deejay sebut nama saya dan mahu siapa yang bernama seperti yang disebutkan, deejay minta telefon semula.

“Bagaimanapun, sebab tak pandai nak telefon semula, semua itu hanya tinggal kenangan,” katanya tersenyum.  

Latipah mempunyai empat anak iaitu Mohd Adam Ismail, 30, Siti Fatimah, 28, Mohd Zaini Arif, 25, dan Sulaiman, 22.

Digelar ‘koperal’

Bukan sekadar itu kenangannya, Latipah berkata, semasa di alam persekolahan dulu, memang namanya menjadi tumpuan.

“Agak susah membawa nama istimewa ini terutama ketika mahu ambil peperiksaan, namun atas bantuan pihak sekolah dan beberapa kali berhadapan dengan temu bual dengan pihak tertentu peperiksaan, akhirnya nama saya terpaksa dipendekkan menjadi ‘KPL’ untuk singkatan bagi Khamsaturra Piaatol Lati.

“Jadi di sekolah ada yang memanggil saya sebagai ‘koperal’ setelah nama saya dipendekkan kepada ejaan ‘KPL’ bagi memudahkan urusan peperiksaan,” katanya ketawa mengingati telatah kawan di Sekolah Kebangsaan Melor dan Sekolah Menengah Melor dulu.

Selain itu, katanya, bagi urusan lain, jika ke pejabat tanah atau bank, pegawai bertugas biasanya pasti tanya: “Asal mari (datang dari) mana ni nama pelik?,” katanya yang tinggal di Kampung Sri Kulim, Melor, Kota Bharu. - SINAR ONLINE

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain