PETALING JAYA: Saluran Astro Awani membuat permohonan maaf di atas kesilapan pengumuman tarikh Aidiladha pada Selasa. Saluran berita itu dalam satu kenyataan di halaman Facebooknya pada Rabu memberitahu bahawa ia telah membuat permohonan maaf sejurus menyedari kesilapan pengumuman tarikh tersebut bermula pukul 8.45 malam Selasa. Kenyataan itu turut dimuat naik video ‘Buletin Awani Top 5’ yang bersiaran pada tengah hari Rabu dengan penyampai beritanya mengulangi permohonan maaf. “Kami mohon maaf di atas kesilapan pengumuman tarikh Hari Raya Aidiladha dalam buletin sebelum ini,” katanya disusuli penyiaran semula rakaman pengumuman tarikh sebenar oleh Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd Aseral Jusman. Pagi Rabu, mStar Online melaporkan orang ramai dinasihatkan tidak keliru terhadap pengumuman tarikh Aidiladha kerana Hari Raya Haji kekal pada 10 Zulhijjah di seluruh Malaysia bersamaan dengan Jumaat, 1 September ini. Aidiladha Kekal Jumaat 1 Sept – KP Jakim Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, satu jawatankuasa telah melihat anak bulan pada Selasa dan bermakna 1 Zulhijjah 1438 Hijrah ialah Rabu, 23 Ogos. “Tarikh yang sebenar adalah 10 Zulhijjah pada Jumaat untuk Hari Raya Haji,” katanya kepada mStar Online. Othman berkata, prosedur operasi standard (SOP) di pihak Jakim berhubung pengumuman tarikh berkenaan adalah betul kerana tiada kesilapan semasa ia diumumkan di saluran RTM.