PUTRAJAYA: Enam kantin atau kafeteria di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan diarahkan tutup sementara dan dikompaun setelah pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya rendah. Kantin berkenaan, yang dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, terletak di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang; Hospital Muar dan Hospital Pulai di Johor; Hospital Shah Alam dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, Selangor; dan Pusat Rehabilitasi Cheras, Wilayah Persekutuan. Menteri Kesihatan Datuk Seri S.Subramaniam berkata enam kantin itu diarahkan tutup sementara selepas pemeriksaan kebersihan rutin dan operasi berkala dilakukan terhadap 144 kantin hospital di seluruh negara sehingga 30 Jun lepas oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan. "Selepas pemeriksaan sekali lagi dilakukan dan mendapati kebersihan mencapai tahap tinggi, semua kantin berkenaan dibuka semula kecuali HTAR...ia tidak ditutup secara kekal," katanya dalam sidang media di kementerian di sini, Rabu. Kantin HTAR di Klang ditutup selama dua minggu sehingga 1 September ini atas faktor kebersihan susulan penyebaran sebuah video selama 32 saat yang memaparkan seekor tikus menarik makanan keluar dari bekas di kaunter lauk-pauk Dr Subramaniam berkata pengusaha kantin di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan wajib memastikan makanan yang dijual di premis mereka adalah bersih, selamat dan sihat. "Sebahagian daripada skop kontrak baru dan tanggungjawab pengusaha kantin dengan pihak hospital adalah memenuhi kriteria Kafeteria Sihat, menjaga kebersihan di premis mereka dan melaksanakan aktiviti kawalan haiwan perosak di kawasan kantin dan kafeteria. "Pihak pengusaha kantin atau kafeteria wajib hidang makan yang sihat, selamat dan ada nutrisi serta tidak dibenarkan menjual minuman ringan atau snek seperti nugget atau burger,”katanya. Beliau berkata sekiranya gagal mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan mengikut Akta Makanan 1983, kantin atau kafetaria boleh diarahkan ditutup, disenaraihitamkan atau kontrak pengendalian makanan dibatalkan serta-merta.-- Bernama