suria

Nasib Si Anak Gajah Malang

GERIK: Seekor gajah jantan dianggarkan berumur 12 tahun mati selepas dilanggar sebuah bas persiaran kira-kira lima kilometer sebelum Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa di KM 59, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, dekat sini awal pagi Khamis.

Bagaimanapun 32 penumpang dan pemandu bas berkenaan, Eng Koon Seng, 62, tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian pada 5.30 pagi itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik DSP Mohd Sohaimi Ishak berkata dalam kejadian itu, bas berkenaan dari arah Jeli ke Gerik sedang menuruni bukit apabila tiba-tiba seekor gajah keluar dari kawasan hutan di sebelah kanan jalan dan cuba melintas ke kiri jalan.

Pemandu bas itu tidak sempat membrek dan mengelak lalu melanggar gajah tersebut.

“Akibat pelanggaran itu gajah tersebut rebah dan kemudian bangun semula berjalan ke kiri bahu jalan berumput sebelum duduk dan kemudiannya mati.

“Gajah itu mengalami kecederaan luka calar pada bahagian kepala dan belakang badan,” katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Mohd Sohaimi berkata bas tersebut mengalami kerosakan pecah cermin hadapan selain kemek pada bahagian depan.

Katanya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah dimaklumkan dan tindakan selanjutnya sedang diambil. - BERNAMA

Gajah, Bas Persiaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain