PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menerima jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk bertemu dengannya di Rumah Putih, bulan depan. Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, perdana menteri akan melakukan lawatan kerja ke Washington atas jemputan Trump. "Susulan jemputan Presiden AS, Donald Trump, dengan itu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja ke Washington pada 12 September 2017. "Malaysia dan AS bakal menyambut ulang tahun hubungan dua hala ke-60 yang kini semakin diperkukuhkan di bawah kepimpinan perdana menteri. "Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua negara termasuk aspek keselamatan, pengganas, perdagangan dan pelaburan untuk kebaikan negara dan rakyat," kata Kementerian Luar. Sebelum ini, Rumah Putih telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan mengenai jemputan Trump kepada Najib itu.