suria

RTM Akui Kedudukan Bendera Berterabur, Akan Ambil Tindakan

PETALING JAYA: Belum pun reda isu kesilapan bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam buku cenderahati upacara pembukaan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), timbul pula insiden terbaharu.

Pada Jumaat, tular mengenai bendera beberapa negara yang menyertai KL2017  bertukar antara satu sama lain dalam paparan pungutan pingat yang dimenangi atlet  seperti mana disiarkan di saluran TV2 RTM.

Lapan bendera daripada 11 negara yang bertukar itu membabitkan Vietnam, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Myanmar, Kemboja dan Laos.

“Berterabur susunan bendera,” kata seorang pengguna laman sosial Twitter yang memuat naik gambar paparan skrin berkenaan pada Jumaat malam.

Seorang lagi netizen ‘Kopiselatan Kopiselatan Kopiselatan’ di Facebook sambil merujuk insiden kesilapan bendera Indonesia baru-baru ini berkata: “Lagi sekali.”

Antara lain netizen mempersoalkan sama ada kesilapan tersebut dibuat secara sengaja selain ia dianggap memalukan negara.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abu Bakar Ab Rahim ketika dihubungi mStar Online mengakui kesilapan yang dilakukan semasa siaran langsung berita Tamil di saluran TV2 pada pukul 7.30 malam Khamis.

Bagaimanapun katanya, permohonan maaf berhubung kesilapan itu telah dibuat pada segmen berita di saluran TV yang sama pada Jumaat.

“Kita akui kesilapan itu tetapi ia dibuat secara tidak sengaja. Kita telah membuat permohonan maaf dalam berita Tamil malam tadi,” katanya.

Dalam pada itu, permohonan maaf juga telah dibuat menerusi siaran Berita Nasional di saluran TV1 pada tengah malam Jumaat.

Menurut Abu Bakar, kesilapan tersebut berpunca pada peringkat produksi iaitu semasa memberikan maklumat terkini dengan keputusan pungutan pingat yang sentiasa berubah-ubah.

“Kita akan ambil tindakan bagi mengelak perkara ini berulang lagi,” katanya.

Pada Isnin lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo menerima permohonan maaf Malaysia mengenai insiden salah cetak bendera republik itu dan menganggap isu tersebut tidak perlu diperbesarkan. 

Sukan SEA, RTM, TV

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain