PETALING JAYA: Hampir sebulan lalu, individu yang tular selepas aksinya bertaranum sebagai tanda kesyukuran mendapat gaji membongkarkan rahsia di sebalik pembikinan video tersebut. Awal bulan ini, muncul video sempena pasukan Selangor menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan Liga Super dan ketika itu identiti pemilik sebenar suara bertaranum masih menjadi misteri. Bagaimanapun pada Khamis malam, video taranum masuk gaji terbaharu dimuat naik di laman sosial tetapi kali ini lelaki yang kini dikenali sebagai 'abang ranum' tampil berduet. "Sebulan menanti, hari ini tiba jua. Oh Bank Rakyat, Bank Pilihan Anda... hanya kau yang memahami isi hati. Sang pujangga Alfian M Nor belanja taranum kesyukuran masuk gaji... kalau nak kecam, kecam dia tau!," menurut keterangan video tersebut. 'Abang Ranum' atau Irwan Effendy Bahtiar, 35, berkata, pendedahan pemilik sebenar suara bertaranum dibuat pada hari pertama menerima gaji bulanannya. "Lama juga saya tunggu nak dedahkan siapa orangnya. Sepanjang tempoh ini ramai panggil saya 'Abang Ranum' dan minta buat taranum. "Saya dah beritahu ia sekadar 'miming' (pergerakan mulut) dan hanya berlakon tetapi mereka tetap buat permintaan. Dan menerusi video terbaru, Taranum Masuk Gaji Lagi Daa.. inilah pemilik sebenar suara taranum," katanya yang turut dikenali sebagai Rocco kepada mStar Online. Alfian, 37, yang merupakan pemilik suara sebenar 'taranum masuk gaji' berkata, pendedahan tersebut dilakukan dengan cara bercerita di dalam video. Inilah pemilik sebenar suara 'taranum masuk gaji'. "Cuma kali ni netizen boleh nampak pemilik suara bertaranum sebenar itu adalah saya sebab gunakan cara lenggok yang sama dengan video pertama taranum masuk gaji," katanya yang merupakan rakan sekerja Rocco di Putrajaya. Menurut Alfian, dia tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan tilawah al-Quran, tetapi sejak kecil sering diperdengarkan dengan keindahan taranum yang dimainkan di radio. Anak kelahiran Kuala Lumpur ini turut mengagumi kelunakan suara johan qariah tilawah al-Quran peringkat antarabangsa 2009, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman bertaranum dan menjadikannya sebagai panduan menerusi laman sosial YouTube. "Saya pula minat menyanyi jadi mudah untuk meniru melodi-melodi taranum untuk melagukannya," katanya sambil menambah bahawa video tersebut dibuat tanpa niat untuk mencemarkan al-Quran kerana yang ditaranum bukan daripada ayat-ayat kitab suci itu. Selain menyanyi, Alfian yang turut mengagumi seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menjadikan pengacaraan majlis sebagai hobi. Dia juga pernah berlakon dalam sebuah filem pendek pada tahun lalu bergandingan dengan pelakon Azman Hassan dan pelawak Abu Mamu. Walaupun telah didedahkan sebagai pemilik sebenar suara bertaranum, Alfian berkata, dia akan terus membuat video aksi taranum selepas ini. "Itu pun kalau ada permintaan netizen. Biasalah kalau ada kecaman, tapi lebih ramai yang terhibur," katanya.