suria

16 Termasuk Bayi Hilang Ditemui Selamat

SEREMBAN: Seramai 16 orang termasuk seorang bayi berusia tiga bulan serta dua kanak-kanak lelaki empat tahun yang dilaporkan hilang pada Sabtu ketika menuruni Gunung Berembun, berdekatan Kampung Pantai dekat sini, turun dengan selamat awal pagi Ahad.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Idris berkata kesemua mangsa turun dengan sendiri dan sampai ke kaki gunung kira-kira 2.05 pagi.

Beliau berkata kesemua mangsa bersama 50 rakan yang lain mula mendaki Gunung Telapak Buruk yang terletak besebelahan Gunung Berembun pada 11 pagi Sabtu.

"Mengikut perancangan kesemua mereka akan turun melalui Gunung Berembun, namun hanya sebahagian daripada ahli kumpulan tersebut telah turun pada sebelah petang semalam.

Baki 16 peserta yang terdiri daripada empat lelaki dan selebihnya wanita, dijangka turun pada pukul 9 malam," katanya.

Namun kira-kira pukul 12.30 tengah malam, rakan-rakan yang lain mula risau apabila kesemua mangsa belum turun dan bimbang dengan keadaan mangsa, rakan-rakan mereka membuat laporan polis memaklumkan kehilangan mereka.

Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada pukul 12.42 tengah malam dan bergerak ke lokasi bersama satu jentera dan 21 anggota.

Bagaimanapun, kumpulan pendaki itu dapat turun dengan sendiri dan tiba di kaki gunung pada 2.05 pagi, dengan dua wanita mengalami kekejangan otot. - BERNAMA

Gunung Berembun

Artikel Lain