suria

Jemaah Malaysia Bergerak Ke Arafah Rabu

Gambar fail jemaah haji Malaysia. Foto Bernama

MAKKAH: Kesemua 30,200 jemaah haji Malaysia akan menyertai lebih dua juta umat Islam seluruh dunia bergerak ke Arafah Rabu, untuk menjalani ibadah wukuf yang merupakan kemuncak haji, pada Khamis (31 Ogos).

Mereka akan bergerak secara berperingkat ke Arafah yang jaraknya kira-kira 25 kilometer dari Masjidil Haram di sini, bermula 9 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) pada 8 Zulhijjah (30 Ogos), menggunakan 20 bas disediakan bagi setiap maktab penginapan yang akan membawa jemaah dalam tiga aliran perjalanan. 

Ini bermakna 280 bas perlu disediakan bagi membawa jemaah di 14 maktab penginapan membabitkan keseluruhan 840 perjalanan.

Wukuf adalah rukun haji yang dilakukan dengan berada di padang Arafah mulai daripada tergelincirnya matahari (waktu Zohor) pada 9 Zulhijjah (31 Ogos) sehingga sebelum fajar pada 10 Zulhijjah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Tabung Haji (THi) sudah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan operasi Masyair bermula Rabu hingga 4 September (13 Zulhijjah).

Kesemua jemaah haji Malaysia akan berada di Arafah sehingga malam 31 Ogos.

Jemaah haji, kemudian akan melakukan mabit (bermalam) di Muzdalifah dan melontar di Mina sehingga 13 Zulhijjah.

Seterusnya jemaah akan melakukan tawaf dan saie haji serta bertahalul.

Selain itu pada musim haji tahun ini, TH juga terus menunjukkan keprihatinan kepada golongan warga emas apabila 43 daripada mereka akan diberikan perkhidmatan satu petugas satu jemaah' sepanjang operasi masyair.

Pada masa yang sama, TH dan Muassasah Asia Tenggara yang mengendalikan jemaah haji dari Asia Tenggara termasuk Malaysia di Tanah Suci Makkah, juga melakukan beberapa penambahbaikan untuk jemaah haji khususnya dalam menghadapi cuaca panas.

Antara langkah dilakukan ialah menambah kipas angin berwap bagi mengurangkan kepanasan serta mengawal risiko strok haba dan keletihan akibat cuaca panas di Arafah.

Sementara di Muzdalifah pula disediakan lebih banyak karpet bagi memberi keselesaan kepada jemaah bermalam. Di Mina, lebih banyak tandas khas turut disediakan bagi membuang air kecil.

Setelah selesai rukun dan wajib haji, sebelum pulang ke tanah air, jemaah akan melakukan tawaf wada' atau tawaf selamat tinggal. - Bernama

jemaah

Artikel Sebelum

Artikel Lain