PETALING JAYA: Perkhidmatan kereta api dan bas di sekitar Lembah Klang akan dilanjutkan untuk memudahkan orang ramai yang menyaksikan upacara penutupan Sukan SEA (KL2017), Rabu malam. Kenyataan Keretapi Tanah Melayu (KTM) memaklumkan, pihaknya akan menyediakan tambahan tren di empat laluan Komuter. Waktu operasi untuk enam stesen iaitu KL Sentral, Kuala Lumpur, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Sungai Buloh dan Subang Jaya akan terus dibuka untuk perkhidmatan tren tambahan. Penumpang yang menggunakan tren untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil dinasihatkan turun di stesen Bandar Tasik Selatan dan bertukar menggunakan LRT ke Bukit Jalil. Perkhidmatan tambahan KTM Komuter adalah seperti berikut: 1. Dari Bandar Tasik Selatan di laluan Serdang-Batu Cave. Tren terakhir bertolak pada 12.37 pagi. 2. Dari Bandar Tasik Selatan di laluan Putra-Seremban. Tren terakhir berlepas pada 1.30 pagi. 3. Dari KL Sentral menggunakan laluan KL Sentral-Rawang. Tren terakhir bertolak pada 1.30 pagi. 4. Dari KL Sentral di laluan Putra-Pelabuhan Klang. Tren terakhir berlepas pada 1.44 pagi. KTM Komuter juga mengumumkan kad Komuter Link akan diedarkan secara percuma kepada penumpang yang membeli nilai tambah RM5 bagi mengaktifkan kad berkenaan. Ia boleh didapati di semua kaunter tiket KTM Komuter. Sementara itu, Rapid KL juga akan melanjutkan operasi LRT, MRT, KL Monorail dan RapidKL bus pada Rabu malam. Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Rapid KL berkata, perkhidmatan LRT akan dilanjutkan ke jam 2 pagi di stesen Bukit Jalil dan Masjid Jamek, makala stesen Bandaraya dan KLCC kekal hingga jam 1 pagi. "Untuk khidmat MRT, operasi stesen di Mutiara Damansara, Bukit Bintang dan Bandar Utama akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi, manakala operasi KL Monorail di stesen Hang Tuan kekal hingga jam 1 pagi. "Penumpang dinasihatkan menggunakan kad MyRapid Touch 'n Go untuk kesenangan mereka. Bagaimanapun bagi yang menggunakan token, diingatkan supaya membeli token untuk perjalanan pulang sebelum meninggalkan stesen sama ada di Bukit Jalil, KLCC atau Dataran Merdeka," katanya.