PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengotakan janji apabila Negeri Sembilan menjadi negeri terbaru yang menjadi buruan agensi itu. Lima lokasi di Lembah Klang dan Seremban diserbu serentak oleh SPRM bagi mengumpul bukti berhubung kes Great Alonioners Trading Corporation Bhd (Gatco). Empat pegawai tiba di Wisma Negri, Seremban pada pukul 10.45 pagi dan dibawa ke tingkat empat bangunan sekretariat negeri (SUK) dan meninggalkan premis itu kira-kira dua jam kemudian melalui pintu belakang. Satu lagi pasukan menyerbu pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (NSSDC) dekat Jalan Yam Tuan pada pukul 11 pagi. Pegawai tersebut menghabiskan masa selama enam jam meneliti semua dokumen sebelum beredar. Sementara itu, satu lagi pasukan menuju ke Thamarai Holdings Sdn Bhd di Wisma Lotus, pejabat Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) di Gasing Indah dan firma audit Singam & Yong di Plaza Pengkalan, Jalan Tiong. Selepas beberapa jam, pasukan serbuan itu meninggalkan bangunan berkenaan dengan membawa sebuah komputer riba dan beberapa kotak yang dipercayai mengandungi dokumen bagi tujuan siasatan lanjut. Pengarah siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani mengesahkan serbuan itu. Difahamkan bangunan SUK akan diminta untuk membantu mencari dokumen berkaitan. Baru-baru ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, beberapa negeri 'panas' selain Pulau Pinang dan Selangor akan disiasat agensi itu. Beliau turut mengumumkan bahawa satu pasukan tugas khas ditubuhkan untuk menyiasat kes terbabit berikutan maklumat yang diperoleh daripada Jawatankuasa Tindakan Peneroka Gatco. Tetapi siasatan dijangka mengambil sedikit masa kerana perjanjian tanah berlaku kira-kira 40 tahun lalu. Sekumpulan peneroka telah melabur dalam skim tanah seluas 1,500 hektar di Bahau di bawah Gatco, yang kemudiannya dibongkar dan dilupuskan 13 tahun lalu. Konflik mengenai pemilikan tanah Kampung Gatco berlaku pada 1977 iaitu ketika Gatco ditubuhkan. Syarikat tersebut dibentuk oleh NUPW sebagai skim pembangunan tanah untuk ahli. Tanah itu diperoleh daripada NSSDC di bawah pajakan 99 tahun. Peneroka membayar deposit sebanyak RM7,600 setiap satu untuk tanah yang diperuntukkan buat mereka. Menurut laporan, peneroka sepatutnya menerima sebuah rumah yang dibina di atas sebidang tanah seluas 0.4 hektar dan 3.2 hektar tanah untuk menanam tebu. Bagaimanapun, Gatco muflis dan pelikuidasi yang dilantik menjual tanah itu kepada Thamarai Holdings pada tahun 2006. Setelah campur tangan oleh kerajaan negeri, Thamarai Holdings bersetuju untuk mengambil bahagian dengan 480 hektar tanah untuk diedarkan kepada peneroka secara percuma. Mana-mana peneroka yang bersetuju dengan susunan itu akan diberi 1.6 hektar tanah tetapi mereka yang telah memperoleh harta itu dari pemilik asal hanya akan mendapat 0.8 hektar setiap satu. Para peneroka mendakwa terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam penjualan tanah itu dan mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat kes terbabit. Ladang seluas 2,000 hektar milik Gatco sebelum ini merupakan ladang tebu yang dimiliki oleh Syarikat Gula Negeri Sembilan dan selepas penutupannya, tanah itu dipajak kepada NSSDC.