suria

Tragedi Akibat Berebut Anak

ALOR SETAR: Tindakan seorang lelaki menghimpit kereta yang dipandu bekas isteri hampir meragut empat nyawa termasuk dirinya serta anak mereka yang berusia lima tahun apabila kedua-dua kereta itu terbabit dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah lagi kenderaan di Jalan Anak Bukit, di sini, Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superitedan Yazri Ismail berkata kejadian berlaku kira-kira 2 petang apabila Jafrul Nizam Jaafar, 38, yang memandu Perodua Myvi mengejar dan menghimpit kereta Perodua Myvi dipandu bekas isteri, Marziana Mahadzir, 37, bersama anak lelaki mereka.

Akibat himpitan itu, kereta Marziana terbabas dan melanggar sebatang pokok di atas pembahagi jalan manakala kereta Jafrul Nizam pula hilang kawalan dan melanggar Proton Saga yang dipandu seorang anggota tentera, Faizal Baharom, 36, katanya.

Menurut Yazri, akibat pelanggaran itu, kereta yang dipandu Faizal terbalik sebelum melanggar pagar kuarters Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Akibat kemalangan itu, keempat-empat mangsa mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya, menambah kes disiasat menurut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum kejadian, Jafrul Nizam difahamkan bergaduh dengan bekas isterinya berhubung hak penjagaan anak, katanya. – Bernama

Darussaadah, Kampung Titi Besar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain