PETALING JAYA: Lima ‘hulubalang’ berbaju Melayu hitam lengkap dengan selempang dan tengkolok berwarna-warni tanda mereka siap sedia untuk merakamkan majlis penting ini. Empat ‘dayang’ tidak terkecuali berselempang corak yang sama dengan masing-masing berbaju kurung moden warna polos kuning, putih, merah dan biru. “Merdeka!,” tiga kali dilaungkan seorang ‘pahlawan’ sekali gus menggegarkan suasana di sebuah kampung, kemudiannya kata-kata keramat itu disahut orang ramai. Pengantin perempuan bersama empat pengiring yang berbaju kurung moden masing-masing dengan warna Jalur Gemilang. Foto instagram sweetpictures_kl Jejaka ini segak berbaju Melayu dan tengkolok berinspirasikan Jalur Gemilang turut dipasangkan dengan seorang ‘puteri’ anggun yang memperagakan persalinan corak sama. Cut! Sebenarnya, adegan ini simbolik majlis perkahwinan bagi pasangan Syahrul Hisham Abdul Azim, 32, dan Nurul Asyikim Zakaria, 27, di Pasir Puteh, Kelantan pada Khamis, jatuh pada 31 Ogos, sempena hari ulang tahun kemerdekaan negara ke-60. Menurut Asyikim atau lebih dikenali sebagai Ekim, idea ‘Jalur Gemilang’ itu dicetuskan sempena tarikh bersejarah negara dan ia dirancang sejak dua bulan lalu. Rombongan lelaki tiba dengan kira-kira 10 kereta yang dipasang bendera negara dan mereka kemudiannya berarak sejauh lebih 100 meter dengan jalan yang dipacakkan bendera di kiri dan kanan semasa menuju ke rumah pengantin. Pasangan raja sehari bersama 'hulubalang' dan 'dayang' di atas pelamin. Foto instagram sweetpictures_kl Pasangan itu menjelaskan bahawa tarikh 31 Ogos menjadi pilihan bagi memudahkan mereka mengingati tarikh perkahwinan, selain menanamkan semangat patriotisme. “Bukan setakat pemilihan tarikh, konsep majlis perkahwinan juga disesuaikan dengan sambutan hari kemerdekaan. Sebab itu kami memakai baju pengantin Jalur Gemilang,” kata mereka kepada mStar Online sambil menambah kedua-duanya menjalinkan hubungan kurang setahun lalu selepas pertemuan berkaitan kerja. Ekim berkata, kira-kira tujuh bendera Jalur Gemilang digunakan untuk membuat dua busana pengantin dengan rekaan sendiri yang mengambil masa kira-kira tiga minggu. Ekim anggun dalam persalinan Jalur Gemilang. Foto instagram sweetpictures_kl Model sambilan itu menjelaskan bahawa bendera yang sebenar digunakan tetapi dijahit bersama dengan kain linen untuk keselesaan. “Tak semestinya pakaian pengantin kena mahal atau ‘bling bling’, yang penting selesa dipakai dan mempunyai makna buat kami. “Baju pengantin Jalur Gemilang ini bukan untuk menjatuhkan martabat bendera Malaysia tetapi sebaliknya mahu menunjukkan rasa cinta kami pada negara,” kata Ekim sambil menambah anak-anak muda hari ini perlu berani dengan cara positif masing-masing. Pada majlis itu, Syahrul yang bekerja sendiri turut melaungkan kata-kata keramat ‘merdeka’ semasa acara memotong kek tiga tingkat juga dengan hiasan Jalur Gemilang. “Tiga jenis lagu dipasang sepanjang majlis perkahwinan kami iaitu lagu Tanggal 31 nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan lagu pengantin, termasuk lagu raya sempena Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada Jumaat,” kata Syahrul sambil menambah mereka bakal berbulan madu di New Zealand pada bulan ini. Acara memotong kek dengan hiasan Jalur Gemilang. Foto instagram sweetpictures_kl Dalam pada itu, Syahrul dan Ekim turut mengadakan ‘perjanjian bersama’ sekiranya antara mereka terlupa tarikh ulang tahun perkahwinan. “Tarikh 31 Ogos sudah pasti diingati kerana kami anak Malaysia tetapi kalau salah seorang daripada kami terlupa tarikh perkahwinan, kena denda untuk bawa pergi bercuti. “Saya impikan destinasi percutian ke Paris, dan suami pula mahu ke Mesir. Kalau lupa, kena denda ke Paris atau Mesir!,” kata pasangan itu secara berseloroh.