SUNGAI PETANI: Tiada kata yang dapat mengambarkan perasaan Rosefakhzan Saleh Mohammad kerana terhutang budi di atas bantuan kontraktor, Oon Thoo Seen menyelamatkan isterinya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya. Pekerja kilang berusia 38 tahun itu mahu bertemu dengan Thoo Seen untuk mengucapkan terima kasih kerana membantu mereka dalam insiden di Kilometer 14 Jalan Pengkalan Hulu-Gerik di Gunung Paku, Ipoh. "Saya tak dapat bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya Oon tidak pecahkan tingkap kereta menggunakan kapaknya. "Api sedang marak dari kereta sebelah dengan isteri pula dalam keadaan tidak sedarkan diri. "Tanpa dia, saya mungkin kehilangan isteri saya. "Saya tak sabar untuk bertemu dengan dia, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada dia," kata Rosefakhzan yang baru menjalani pembedahan bagi mengeluarkan cecair daripada paru-parunya di Hospital Sultan Abdul Halim. Dalam kejadian pada pukul 2 petang Rabu, kereta Rosefakhzan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza sehingga berlaku kebakaran. Thoo Seen, 66, yang kebetulan berada di tempat kejadian bertindak pantas memecahkan tingkat kereta bagi mengeluarkan isteri Rosefakhzan, Sri Nursuzawilati Mat Noh, 37, dari kereta Proton Saga BLM. Tindakan Thoo Seen mendapat perhatian netizen dan kisah keberaniannya memberikan bantuan tular di media sosial. Rosefakhzan berkata, ketika kejadian, dia bersama keluarganya dalam perjalanan dari Arau, Perlis ke kampung halamannya di Tumpat, Kelantan untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha. Dalam perjalanan, dia berkata, mereka tersilap masuk simpang dan memutuskan untuk menggunakan laluan alternatif. "Malangnya, kami mengalami kemalangan. Tetapi kami bersyukur kerana Oon berada di tempat kejadian," katanya. Sri Nursuzawilati dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim kerana kecederaan perut yang serius dan patah tulang rusuk. Dua anak mereka, Mohd Aqil Hazim, 9, mengalami cedera ringan manakala Nur Naurah Qaisara, 5, masih trauma akibat kemalangan itu. Kesemua mangsa yang menaiki kereta alza mengalami cedera ringan.