suria

Ada Astro Tak Dapat Daging Korban?

PETALING JAYA: Aidiladha sudah berlalu tetapi topik atau kisah berkaitan pengorbanan dan daging korban masih menjadi bualan hangat di media sosial.

Netizen menggunakan platform ini untuk berkongsi resipi masakan berasaskan daging, memberikan tips untuk mengurangkan lemak daging dalam masakan, malah ramai juga yang berkongsi gambar lembu dan proses penyembelihan.

Namun, di sebalik kemeriahan sambutan ini, timbul juga isu penduduk yang tidak berpuas hati dengan cara pembahagian daging korban di tempat mereka.

Dalam satu posting yang tular di media sosial, penduduk di sebuah flat di Pulau Pinang dilihat tidak berpuas hati dengan satu memo yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan di tempat mereka yang meminta 'keluarga miskin' datang mengambil sendiri daging korban pada tengah hari Sabtu.

Memo tular tersebut dipercayai dilekatkan oleh pihak pengurusan di bahagian tangga dan peti pos di Flat Taman Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

Selain mendakwa perkataan 'keluarga miskin' membuatkan penduduk teragak-agak untuk mendapatkan daging korban kerana rata-rata penduduk di situ berstatus sederhana, mereka juga berpandangan bahawa bahagian daging korban untuk keluarga miskin sepatutnya diagihkan sendiri oleh pihak bertanggungjawab di rumah keluarga berkenaan.

Namun, apa yang lebih mengejutkan apabila terdapat netizen mendakwa memo yang dilekatkan di kawasan tersebut menetapkan syarat mana-mana yang penduduk yang melanggan Astro dan memiliki kereta tidak layak mendapat bantuan.

Seorang penduduk yang menetap di flat berkenaan ketika dihubungi mStar Online berkata isu pembahagian bantuan atau daging korban untuk penduduk miskin di tempatnya bukan isu baharu.

"Saya tengok kertas memo tu ayatnya sama saja dah bertahun-tahun cuma baru sekarang ia viral.

"Saya yang dah 10 tahun tinggal di sini pun tak pernah dapat daging korban sebab memo tu tulis untuk 'keluarga miskin', saya pun tak tahu bagaimana mereka ukur tahap kemiskinan seseorang," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Ana.

Menurut Ana, suaminya yang bekerja sebagai nelayan dengan purata pendapatan bulan sebanyak RM900 pun tidak diberikan daging walaupun menghulurkan bantuan di masjid.

"Tak dapat tak apalah, mungkin daging tak cukup atau ada yang lebih memerlukan," katanya.

Ana turut mengakui kewujudan memo di tempatnya yang meletakkan syarat si penerima tidak layak menerima bantuan jika mempunyai Astro dan kenderaan, tetapi tidak pasti ia turut menjadi salah satu syarat untuk melayakkan seseorang mendapat daging korban.

Mengulas lanjut dia berkata istilah 'keluarga miskin' itu bukan sahaja membuatkan keluarganya keliru, sebaliknya ia juga telah lama menjadi perbincangan sesama penduduk di flat tersebut.

"Macam mana kalau ada yang malu atau tak anggap diri mereka miskin kerana fikir ada keluarga miskin lain yang lebih layak dapat daging korban tu.

"Bagaimana pula kalau satu flat pergi ambil daging kerana anggap keluarga mereka miskin," katanya.

Sementara itu terdapat juga netizen, dipercayai penduduk di flat tersebut tampil membuat penjelasan mengenai memo tersebut di ruangan komen.

Artikel Sebelum

Warga Emas Korban Pemandu Lalok

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan