suria

“Saya Malu Remaja Melayu Jadi Pencuri”

PETALING JAYA: "Saya tak kutuk bangsa Melayu, saya cuma sedih tengok remaja Melayu jadi pencuri," kata pengasas produk kecantikan D'nars Skincare, Faziani Rohban Ahmad.

Faziani yang mengulas mengenai kejadian pecah masuk kediamannya di Taman Kota Kubang Labu, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan awal pagi Selasa berkata beliau amat terkejut melihat 'aksi' empat remaja Melayu mencuri dua buah motosikal di perkarangan rumahnya menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Berdasarkan gerak-geri, nampak macam mereka dah biasa buat kerja ni, bila tengok CCTV saya rasa ia memang memalukan bangsa dan agama.

"Nampak jelas wajah anak Melayu, saya sedih kenapa mereka pilih jalan tu sedangkan banyak kerja lain di luar sana," katanya kepada mStar Online.

Menurut Faziani beliau sedar terdapat pihak yang kurang setuju dengan ayat '4 ekor anak Melayu' yang ditulis sebagai keterangan pada empat video rakaman CCTV yang dimuat naik di laman sosial.

"Saya tak kata semua Melayu sama, saya tak kutuk Melayu, saya pun Melayu, saya maksudkan segelintir yang buat 'kerja' macam ni.

"Kalau saya tak viralkan, mereka tak akan malu atau sedar," katanya.

Dalam kejadian jam 3.48 pagi itu, dua buah motosikal jenis Yamaha 125Z (edisi terhad) milik adik dan anak lelakinya telah dicuri oleh empat remaja lelaki dalam masa tidak sampai 10 minit dengan cara memotong kunci pada pagar.

Dua motosikal yang hilang bernombor pendaftaran F422 dan RP7545. Dianggarkan insiden itu menyebabkan kerugian sebanyak RM22,000.

Faziani Rohban Ahmad

Susulan kejadian itu juga, Faizani menawarkan ganjaran RM5,000 kepada sesiapa sahaja yang memberi maklumat sehingga membawa kepada penangkapan individu terbabit.

"Tawaran itu pula bukan riak, tapi kalau dapat tangkap saya puas hati dan dalam masa sama dapat selamatkan orang lain khususnya di kawasan ini.

"Bagi saya ganjaran tunai RM5,000 itu tinggi, nilai kerugian RM22,000 juga besar tapi besar lagi nilai agama dan bangsa kita," katanya.

Faziani berkata beliau telah membuat laporan polis di  Balai Polis Wakaf Bharu.

Beliau turut menggesa agar anggota polis lebih kerap membuat rondaan dan melakukan pemantauan di kawasan perumahan bagi mengelakkan kejadian ini daripada berulang.

Artikel Sebelum

Wisma Putra Panggil Duta Myanmar

Artikel Berikut

Artikel Lain