suria

Motor Merah Jambu Bertanduk Kerbau

Mohd Nor bangga dengan motosikal merah jambu miliknya.

“SETAKAT ini semua komen yang baik-baik sahaja,” kata Mohd Nor Osman, 62, penduduk Kampung Pengkalan Raja yang tular di media sosial baru-baru ini.

Kisah warga emas itu tular selepas gambarnya memakai baju dan topi keledar yang sama warna dengan motosikal merah jambu dihiasi aksesori tanduk kerbau.

Mohd Nor berkata, dia tidak kisah dengan apa juga tanggapan diberikan kerana apa yang dilakukannya itu adalah ideanya sendiri.

Menurutnya yang lebih dikenali sebagai JJ, diakui sejak gambarnya tular, ramai yang mahu bergambar dengannya terutama ketika menunggang motosikal itu di luar Pontian.

“Ramai tak percaya, ingatkan gambar yang tular itu tipu. Ada juga yang beritahu di ruang komen, gambar itu betul-betul wujud di Pekan Nanas Pontian.

“Paling lucu, ada dua kereta sanggup berhenti di tepi jalan semata-mata nak ambil gambar saya bersama motosikal warna merah jambu. Kejadian ini berlaku sewaktu dalam perjalanan ke rumah abang, Bachok Osman, 70, di Masai, baru-baru ini,” katanya.

Berhabis RM5,000

Mohd Nor yang merupakan pengumpul motosikal antik berkata, kerana minat dia tidak kisah dengan kos perbelanjaan hampir RM5,000 yang dikeluarkan bagi kerja ubah suai dan mengecat semula motosikal Demak kepunyaan itu.

Katanya, demi mencari kelainan dia memilih warna merah jambu yang cukup sinonim dengan wanita untuk dicat pada motosikal tersebut.

Mohd Nor menunjukkan pengisar lama yang diletakkan di belakang motosikalnya.

“Rasanya belum ada lagi orang buat macam saya ni. Paling penting saya tak tiru orang. Ini idea saya sendiri.

“Puas rasanya lihat motosikal diubah suai ikut minat saya. Ada tanduk kerbau di depan dan belakang motor. Saya tambah lagi dengan letak aksesori pengisar lama yang dibeli di kedai bundle,” katanya.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, dia amat menyayangi motosikal Demak tersebut walaupun turut memiliki sebuah motosikal Vespa lama.

“Motosikal Demak itu hadiah sewaktu saya jadi johan pertandingan motosikal antik dianjurkan di Batu Pahat kira-kira lima tahun lalu.

“Kalau boleh ke mana saja saya nak bawa motosikal merah jambu ini,” katanya.

Sambut merdeka dengan motosikal

Tibanya 31 Ogos, Mohd Nor tidak ketinggalan menghias motosikal  kesayangannya dengan Jalur Gemilang.

Malah dia juga mengenakan pakaian Jalur Gemilang ditempah khas semata-mata mahu memberi kelainan pada sambutan Hari Kemerdekaan.

Katanya, sudah menjadi tradisi buatnya mengelilingi kawasan di sekitar bandar Pontian dan Pekan Nanas pada tarikh keramat 31 Ogos.

Gambar Mohd Nor yang tular di laman sosial.

Mohd Nor turut berharap dapat membawa motosikal uniknya itu ke Dataran Bandaraya Johor Bahru ketika sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun depan.

Selain itu, sikapnya yang ramah turut membuatkan Mohd Nor begitu mudah bergaul dengan sesiapa sahaja.

Tidak hairanlah, dia cukup dikenali peniaga dan pengunjung di Gerai Majlis Daerah Pontian (MDP) Pekan Nanas.

Menurutnya, dia kerap kali berada di situ untuk membantu peniaga membersihkan meja dan mengutip pinggan mangkuk.

"Saya buat kerja ni sukarela kerana nak isi masa lapang sambil berbual dengan pengunjung.

“Alhamdulillah, dua anak saya dah bekerja di Kuala Lumpur dan mereka banyak membantu. Anak bongsu, Tarmizi, 21, yang merupakan OKU tinggal bersama saya dan isteri,” katanya.

Sementara itu pemilik gerai, Mek Limah Mohammad, 64, berkata, dia sudah biasa dengan Mohd Nor yang sering berada di gerainya.

Selain berbual dengan pelanggan, dia juga turut membantu membersihkan meja pelanggan di kedai. - Sinar Harian

Motosikal Merah Jambu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain