suria

KMJ 2017 Mungkin Tahun Terakhir Buat Sultan Johor

Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa seketika untuk bersalaman dengan kanak-kanak di Kem Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, sebelum memulakan pengembaraan. - Sinar Harian

KLUANG: Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 yang sedang berlangsung mungkin tahun terakhir buat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengetuai rombongan

Sultan Ibrahim bertitah, tanggungjawab mengetuai KMJ yang saban tahun dinantikan oleh seluruh rakyat di negeri ini, mahu diserahkan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

"Saya rasa tahun ini tahun terakhir saya. Saya nak serah pada Tunku Mahkota. Saya nak tengok macam mana beliau (Tunku Ismail) menerajui Kembara Mahkota.

"Saya sudah didik dia (Tunku Ismail) dan saya akan datang sebagai tamu (tetamu) je. Kalau dijemput," titahnya ketika ditemui sebelum memulakan hari ketiga KMJ 2017.

Lapor Sinar Harian, baginda Tuanku bertitah sedemikian ketika ditemui Kem Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam di sini, pagi Isnin.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda Tuanku berhasrat membuat pengumuman berhubung penglibatannya yang terakhir dalam KMJ kepada sekian rakyat.

Bagaimanapun, baginda Tuanku akui tidak sampai hati berbuat demikian.

"Saya nak buat 'announcement' itu, tetapi saya tak sampai hati. Jadi selagi ada keringat saya teruskanlah (KMJ)," titahnya.

Selain itu, Sultan Johor turut bertitah KMJ kali ini diumpamakan seperti temujanji buat baginda Tuanku bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Ia berikutan kemahuan Raja Zarith Sofiah mengikutnya dan menemani baginda memandu kereta beroda tiga Morgan pada penganjuran KMJ edisi ke-20 itu.

"Tahun ni saya hairan Raja Zarith ikut saya sepanjang jalan. Saya cakap dengan dia pergi naik kereta, esok demam. Dia tak nak.

"Macam 'dating' la berdua je dalam kereta. Tapi dia tahan (ikut sepanjang program)," titah Sultan Ibrahim.

Untuk hari ketiga, rombongan KMJ 2017 diketuai Sultan Johor bersama kerabat DiRaja Johor dan rombongan menuju ke Bandar Baru Ayer Hitam, Gerai Majlis Daerah Labis, Taman Tenang Jaya, Dataran Segamat, Laman Herba Kampung Sagil Parit 2, Medan Selera Taman Serom Utama dan Dataran SRCC sebelum baginda Tuanku dijangka berangkat bersemayam di Rumah Muar 3.

KMJ 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

UPSR Akan Diteruskan - Mahdzir

Artikel Lain