suria

Kisah Baju Basah Calon UPSR

Murid Orang Asli bersemangat menduduki UPSR dengan pakaian seragam sekolahnya. -Foto Facebook

PETALING JAYA: Ketika semua murid Tahun 6 sedang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), masih ada segelintir murid yang kurang bernasib baik.

Inilah yang berlaku kepada seorang calon UPSR yang tidak hadir ke sekolah pada hari pertama UPSR, Isnin, hanya kerana pakaian seragam sekolahnya basah.

Bagaimanapun, pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Paya Bungor, Kuantan, Pahang itu amat beruntung kerana mempunyai dua guru prihatin yang sanggup menjemputnya di rumah untuk memastikan dia dapat menduduki peperiksaan.

Kisah 'baju basah' murid berkenaan bersama dua gurunya yang berhati mulia ini tular di media sosial dengan netizen memuji sikap yang ditunjukkan oleh mereka.

Guru Besar SK Paya Bungor, Baharnizam Baharudin berkata, dua guru berkenaan adalah guru penolong kanan (pentadbiran), Mohd Ali Hanafiah, 47, dan guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Khairul Nizam Aseh, 33.

Seorang guru cuba meninjau seorang calon UPSR dari luar rumah.

Beliau berkata, ketiadaan murid yang dikenali sebagai Noraina, 12, itu disedari semasa perhimpunan sekolah pada pukul 7.15 pagi.

“Noraina ada pasangan kembar di sekolah. Adiknya beritahu dia tidak hadir ke sekolah kerana baju sekolahnya basah.

“Kami bergegas ke rumahnya untuk memastikan dia turut menduduki UPSR. Kita maklumkan kepada pengawas peperiksaan terlebih dahulu mengenai murid ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Baharnizam menjelaskan bahawa baju sekolah murid dari kampung di Kilometer 56 Jalan Gambang, Kuantan itu basah disebabkan ia disidai di luar rumah selepas dicuci dan kebetulan hujan lebat sehari sebelumnya.

“Jadi, bukanlah murid berkenaan tak ada baju sekolah, cuma bajunya tak sempat kering. Bagaimanapun, dua guru kami bantu mendapatkan baju ganti untuknya.

“Nawaitu kami adalah memastikan setiap murid berpeluang untuk berusaha mencapai kejayaan dalam hidup. Kami beri sokongan kepada dia,” katanya.

Mohd Ali dan Khairul Nizam mengambil inisiatif menjemput Noraina untuk dibawa ke sekolah bagi menduduki UPSR.

Baju ganti itu bertujuan untuk memberi motivasi kepada murid berkenaan supaya lebih bersemangat untuk menduduki peperiksaan pertama di sekolah.

Menurut Baharnizam, sama ada di dalam atau luar kawasan sekolah, semua guru dipertanggungjawabkan menjadi pendidik kepada murid-murid mereka.

“Alhamdulillah, murid berkenaan sempat menduduki UPSR bersama rakan-rakannya. Dia bersemangat datang ke sekolah, pakai baju yang dipinjam daripada jirannya.

“Pendidikan adalah penting buat setiap murid dan kita mahu mereka menjadikan peperiksaan sebagai pengalaman berguna untuk mencapai kejayaan,” katanya.

UPSR

Artikel Sebelum

Kenapa Hayun Parang?

Artikel Berikut

Kisah Teh Tarik Tuanku

Artikel Lain