suria

“Tidak, Ini Tanggungjawab Tok” - Tuanku Abdul Halim

Raja Sarina merupakan anakanda Raja Iskandar Zulkarnain (Raja Di-Hilir Perak) dan Tunku Soraya (anakanda Almarhum Tuanku Abdul Halim).

PETALING JAYA: Kehilangan seorang raja berjiwa rakyat pada petang Isnin membuatkan negara berkabung atas pemergian Almarhum Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Catatan menyentuh hati cucundanya, Raja Sarina Iskandar terhadap peribadi tersembunyi Almarhum Tuanku Abdul Halim juga tular di laman sosial dan media tempatan pada Isnin sehingga berbekas di hati rakyat seluruh negara.

Raja Sarina sekali lagi mendedahkan bahawa Almarhum nendanya gemar berbakti kepada rakyat secara senyap-senyap tanpa sebarang liputan media.

"Kemana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Seperti bapanya, Tok percaya bahawa menjadi seorang Sultan merupakan suatu amanah yang besar.

"Sifat pemurahnya tidak terhad kepada apa yang kita lihat di media; secara senyap-senyap, Tok juga telah menaja pendidikan beberapa orang pemuda sehingga ke peringkat universiti. Melihat rakyatnya berjaya membawa sejuta kegembiraan kepadanya," tulis Raja Sarina.

Catatan kedua yang dimuat naik di Instagram pada Selasa sekali lagi membuatkan netizen sebak dan mengalirkan air mata ketika mengetahui tentang peribadi sebenar Almarhum Tuanku Abdul Halim.

Kata Raja Sarina, Almarhum Tuanku Abdul Halim memegang kuat prinsip yang mengutamakan tanggungjawab dan rakyat kerana ia adalah asas rutin harian Baginda bagi memenuhi tanggungjawab sebagai seorang Sultan.

Antara kenangan Raja Sarina bersama Almarhum Tuanku Abdul Halim dan kakanda-kakandanya ketika menghadiri upacara penganugerahan bintang pertama mereka pada Januari lalu.

"Bagi Tok (Almarhum Tuanku Abdul Halim), apa sahaja yg dilakukannya adalah demi rakyat yang tercinta.

"Tok sentiasa mencuba yang terbaik untuk memenuhi setiap jemputan acara yang diterima sebagai tanda penghargaan dan hormat; meskipun kadangkala Tok merasa lemah dan kurang sihat kerana Tok tidak mahu menghampakan mana-mana pihak," tulisnya.

Posting yang dimuat naik sekitar pukul 8 pagi Selasa itu menunjukkan sekeping gambar hitam putih Almarhum Tuanku Abdul Halim sedang duduk bersama kanak-kanak yang dipercayai merupakan Raja Sarina ketika masih kecil.

Raja Sarina pernah menetap bersama Almarhum Tuanku Abdul Halim di Istana Negara ketika Baginda bergelar Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Raja Sarina, dia sekeluarga terpaksa menasihati Almarhum Tuanku Abdul Halim agar tidak memudaratkan diri terutama sekali ketika Baginda memegang takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Walaupun selepas cubaan untuk meyakinkannya yang pihak lain pasti akan memahami hadnya sebagai seseorang yang sudah dimakan usia, Tok masih tegas dengan pendiriannya: "Tidak. Ini tanggungjawab Tok."

Tambah Raja Sarina, nilai murni yang dipelajari daripada Almarhum nendanya tersemat kemas dalam sanubari agar menjadi seorang yang tidak membiarkan hidup dikawal oleh tohmahan dan hinaan anasir luar.

"Jika kita hidup dengan berintegriti, kenapa perlu kita berasa gentar? Perasaan tersebut hanyalah untuk Allah SWT, dan Allah SWT sahaja. Al-Fatihah," ujarnya.

Seorang pengguna Instagram, Syazlin Rahim berkata: "Saya menangis ketika membaca ini. Tuanku seorang yang berhati baik, kali pertama saya bertemu dengannya adalah sewaktu bapa saya bertugas di Lapangan Terbang Pulau Pinang.

"Baginda seorang lelaki yang baik dan penyayang. Kita telah kehilangan seorang permata. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas Tuanku. Amin," tulisnya.

Seorang lagi pengguna, 'Hikall10' pula berkata: "Masha Allah berderai air mata bila baca. Al-Fatihah. Satu kesedihan bagi semua anak Kedah."

Tuanku Abdul Halim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kekasihku Mr. Pencuri Telefon

Artikel Lain