PETALING JAYA: Kemangkatan Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada petang Isnin begitu mengejutkan rakyat jelata kerana baginda cukup terkenal sebagai seorang raja berjiwa rakyat. Kemangkatan Almarhum baginda turut meruntun hati seorang wartawan The Malay Mail yang pernah berjiran dengan Almarhum ketika masih bergelar Yang di-Pertuan Agong iaitu sekitar 2013. Wan Noriza Meor Idris memberitahu mStar Online, dia dan keluarganya pernah beberapa kali berselisih dengan Almarhum Tuanku Abdul Halim ketika menetap di sebuah kondominium mewah di Taman Tun Dr Ismail di sini. "Almarhum baginda seorang yang sangat pemurah dengan senyuman dan cukup bersahaja ketika kami bertemu beberapa kali. "Kenangan yang terpahat dalam ingatan saya, sudah tentu kemesraannya terhadap orang lain tanpa mengira status," katanya. Tambah Wan Noriza, Almarhum Tuanku Abdul Halim berkenan memberikan laluan kepadanya yang ketika itu sedang sarat mengandung anak pertama tatkala mereka bertembung di lobi kondominum tersebut. "Saya nampak Tuanku yang ketika itu dan sebagai tanda hormat saya ingin beri laluan kepadanya, namun sebaliknya baginda yang memberi laluan kepada saya. "Setiap kali saya berselisih dengan Tuanku, kami hanya bertukar senyuman dan saya rasa sedikit ralat kerana tidak mengambil peluang untuk bergambar dengannya sebagai tanda kenangan. "Kalau boleh diputar masa, saya ingin bergambar dengan Tuanku kerana baginda seorang yang sangat berjiwa rakyat," ujarnya. Kata Wan Noriza, dia mendapat tahu mengenai berita kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Halim daripada suaminya yang juga seorang pengamal media sekitar pukul 3 petang Isnin. “Semoga Tuanku ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.