SEBELUM ini, selepas isi kuning jagung diambil untuk membuat kuih atau dinikmati begitu sahaja, tanpa teragak-agak kulitnya akan terus dicampakkan ke dalam tong sampah. Situasi ini berlaku kerana ramai yang tidak tahu bahawa kulit tanaman bijirin itu sebenarnya mempunyai manfaat lain. Siapa sangka kulit jagung boleh digunakan untuk membalut kuih tradisional masyarakat Jawa iaitu lepat! Jika hasrat untuk membuat kuih itu sering tertangguh sebelum ini kerana ketiadaan daun pisang atau daun kelapa muda, tapi sekarang tiada lagi alasan untuk anda tidak menghasilkannya. Penghasilan lepat yang dibungkus dengan kulit jagung ternyata lebih mudah malah rasanya juga enak. Ini dibuktikan dengan perkongsian netizen yang telah mencubanya selepas kuih lepat yang dibungkus dengan kulit tanaman bijirin itu tular di media sosial baru-baru ini. Rata-rata netizen yang pertama kali mengetahui tips itu teruja mahu mencuba resipi tersebut. Malah ada segelintir netizen memuji perkongsian tips tersebut yang disifatkan sebagai satu langkah untuk mengelakkan pembaziran. @Badariah Ismail berkata:"Kreatif orang ni. Mohon kongsi, terima kasih." @Juhara Halim berkata:"Boleh cuba ni, daun pisang pun susah dapat mahal pula tu. Lepas ni tak ada alasan daun tak ada kan." @Sarina Ninaina berkata:"Tak pernah buat apatah lagi rasa tapi nampak macam sedap je." Terdapat juga netizen yang sudah mencuba membuat kuih tersebut yang mengakui rasanya lebih sedap. @Haziq Daniel berkata: "Saya pernah makan memang sedap."