KUALA LUMPUR: Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah yang terbakar sehingga mengorbankan 24 nyawa awal pagi Khamis dalam proses memohon permit keselamatan kebakaran. Namun, pusat tahfiz tersebut memulakan operasinya sebelum permit itu diluluskan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Soiman Jahid berkata insiden itu dapat dielakkan jika pusat tahfiz tersebut mengikut peraturan kerajaan tempatan dalam soal permohonan permit yang sepatutnya. "Berdasarkan siasatan kami, sekolah itu tiada permit untuk memulakan operasinya dan mereka memohon untuk mendapatkannya," kata Soiman. Beliau berkata punca kebakaran yang bermula kira-kira pukul 5 pagi itu mungkin disebabkan ubat nyamuk atau litar pintas. "Punca itu akan diketahui dalam tempoh dua atau tiga hari lagi. Anggota kami sedang memasuki kawasan kebakaran untuk memeriksaan jika terdapat mangsa lain yang terperangkap," katanya. Ditanya sama ada pusat tahfiz itu sepatutnya beroperasi tanpa permit, Soiman berkata mengikut peraturan kerajaan tempatan, operasi hanya boleh dimulakan selepas permit diluluskan. "Kami juga telah menasihatkan pusat tahfiz itu supaya melaksanakan semua keperluan keselamatan kebakaran sebelum memulakan operasinya. "Berdasarkan siasatan awal, kami dapati mangsa cuba menyelamatkan diri menerusi tingkap tetapi terhalang kerana besi jeriji yang dipasang pada tingkap," katanya.