suria

“Mama Tak Dapat Bayangkan Ya Allah”

PETALING JAYA: Ibu kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, awal pagi Khamis berkongsi perasaan duka selepas kehilangan anaknya yang tersayang.

Dalam status di Facebook yang ditulisnya dua jam lalu, Puteri Noridayu memberi gambaran bahawa dia tidak dapat membayangkan keadaan anak lelakinya yang hanya dikenali sebagai Fahmie dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 5.15 pagi itu.

"Mama tak dapat bayangkan ya Allah," tulisnya sambil memuat naik beberapa keping gambar berkaitan insiden itu bersama surah Al-Fatihah.

Difahamkan Puteri Noridayu baharu sahaja kehilangan bapa tercinta pada 21 Ogos lalu.

"Ya Allah... mama baru kehilangan abah. Kali ini mama kehilangan Fahmie dalam hidup mama," tulisnya.

Puteri Noridayu turut memuat naik gambar bersama Fahmie di hadapan pusat tahfiz tersebut.

Puteri Noridayu bersama anaknya yang dikenali sebagai Fahmie. foto Facebook Puteri Noridayu.

Posting wanita itu menjadi tular di media sosial sebaik sahaja insiden kebakaran itu menjadi tajuk utama portal berita pada Khamis.

Rata-rata netizen mengucapkan salam takziah kepada Puteri Noridayu di atas ujian berat yang menimpa keluarganya.

@Juza Anne Nalea berkata:"Salam takziah untuk akak sekeluarga. Anak akak menanti akak di syurga.... Insya-Allah. Innalillahiwainnailahirojiun."

@Jamiah Jusa berkata:"Salam takziah Ayu. Semua ini adalah rahsia Allah. Abah baru pergi kini menyusul pula anak saudara. Akak doakan semoga Ayu kuat, tabah dan sabar. Ingat baby dalam kandungan Ayu tu."

@Mie Ali berkata:"Saya tak tahu nak cakap apa-apa puan tapi yakinlah jiwa anak puan penuh dengan kalimah Allah dan Insya-Allah arwah bakal tunggu puan di sana. Kesakitan dan kerinduan puan ini pasti ada anugerah jauh lebih besar Allah sediakan di atas sana."

Seramai 22 pelajar dan dua guru dilaporkan maut dalam kebakaran itu yang memusnahkan seluruh tingkat paling atas bangunan tiga tingkat pusat tahfiz itu.

Turut cedera ialah enam pelajar dan seorang orang awam.

Darul Quran Ittifaqiyah

Artikel Sebelum

Artikel Lain