PETALING JAYA: Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan sedih seorang ibu apabila menerima berita kehilangan tiga anaknya dalam tragedi yang menyayat hati ketika azan Subuh berkumandang pada awal pagi Khamis. Mas Hawani Mohamed Shahid, 37, kehilangan tiga anak lelakinya yang menjadi mangsa dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung di ibu negara. Mashawani ditenangkan oleh anggota keluarga. Tiga anak lelakinya adalah Muhammad Syafiq Haikal,13, Muhammad Hafiz Iskandar,12, dan Muhammad Harris Ikhwan (10). Setakat ini, usia ketiga-tiga beradik ini belum dapat disahkan dan akan dikemaskini dalam masa terdekat. Kebakaran tersebut meragut 24 nyawa termasuk dua tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan. Sepupu ibu mangsa, Rosnani Mohd Nor berkata, dia hanya tahu anak-anak kepada sepupunya itu meninggal dunia selepas semua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur. "Kami sekeluarga bersedih dengan kejadian malang ini terutama ibu kepada anak-anak ini," katanya sambil menambah bapa mangsa telah meninggal dunia lapan tahun lalu. Rosnani yang masih terkejut apabila menerima berita itu baru saja tiba di HKL untuk bersama sepupunya. "Saya masih belum bertemu dengan sepupu saya. Saya doakan dia tabah melalui dugaan ini," tambah Rosnani kepada mStar Online.