BUTTERWORTH: Lebih 100 buah rumah di Pulau Pinang ditenggelami banjir selepas hujan lebat pada Jumaat. Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, kawasan yang terjejas adalah Kampung Malaysia dan Mak Mandin, Taman Cantek, Kampung Sethu dan Kampung Permatang Rawa, melibatkan lebih 60 buah rumah. Banjir juga dilaporkan di 32 lokasi lain termasuk Jalan Bagan Jermal, Jalan Ong Yi How, Jalan Thamby Kechik, Tingkap Siakap 11, Taman Senangin, Kampung Bagan Jaya, Kampung Simpah, Kampung Perlis, Taman Segemal dan flat Jalan Nangka. Seorang penunggang motosikal cuba menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam banjir di Jalan P.Ramlee. Jurucakap jabatan, Mohd Azman Hussin berkata setakat ini, pemindahan tidak diperlukan, tetapi anggota bomba sedang bersedia untuk segala kemungkinan. Susur keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan menuju Jalan Permatang Pauh di Seberang Jaya juga telah ditutup akibat banjir. Trafik pada waktu puncak sebelah pagi tidak bergerak disebabkan banjir besar selepas hujan lebat yang turun sepanjang malam. Keadaan banjir di Jalan Perak. Semua laluan utama ke daerah pusat perniagaan Pulau Pinang dinaiki air ke paras lutut hingga dada dari 6 jam pagi Jumaat. Di George Town, kereta kelihatan terapung di Bandar Baru Air Itam dan Paya Terubong. Bomba dikesan cuba menyelamatkan beberapa kereta yang terapung di Lebuhraya Thean Teik, manakala beribu-ribu penduduk bimbang untuk meninggalkan rumah bertingkat tinggi masing-masing untuk keluar bekerja. Sebuah video menunjukkan murid-murid di sebuah sekolah swasta sedang duduk di dalam bilik darjah dengan air berlumpur paras lutut juga telah mula tersebar di media sosial. Di Tanjung Bungah, enam buah kereta rosak dalam kejadian tanah runtuh di Pangsapuri Kayangan Puri Mutiara di Medan Fettes. Mohd Azman berkata anggota bomba tiba di tempat kejadian pada jam 7.30 pagi. "Kami melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan dan mengalihkan pokok-pokok tumbang, tiada siapa yang terperangkap," katanya. Kerja-kerja pengalihan kenderaan sedang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya dan pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang.