suria

Bomba, Polis Bekerjasama Jika Ada Unsur Jenayah

Bomba sedang menyiasat dari sudut kecuaian serta teknikal dan siasatan dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya tragedi kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini pada Khamis mempunyai unsur jenayah.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata buat masa ini pihaknya sedang menyiasat dari sudut kecuaian serta teknikal dan siasatan dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu.

"Peringkat awal siasatan adalah mencari punca kebakaran dari pelbagai sudut  termasuk mendapatkan rakaman percakapan daripada pemilik premis, mangsa yang terselamat dan saksi di tempat kejadian.

"Kalau ada melibatkan  elemen jenayah dan sabotaj, pihak bomba akan serah laporan kepada PDRM untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata setakat ini pasukan forensik JBPM telahpun mendapatkan keterangan daripada pemilik premis serta beberapa mangsa selain saksi kejadian.

Mengulas lanjut,  Wan Mohd Nor menyifatkan  tragedi pagi Khamis itu adalah yang terburuk selepas tragedi Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah  pada 22 Sept 1989 yang meragut 27 nyawa pelajar.

Dalam kejadian 5.15 pagi Khamis,  21 pelajar lelaki berumur antara 11 dan 17 tahun serta dua guru yang juga warden tahfiz itu,  maut selepas seluruh tingkat paling atas bangunan sekolah tiga tingkat tersebut dijilat api.

Siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur pada Khamis mendapati kebakaran di pusat tahfiz itu tidak berpunca daripada litar pintas apabila siasatan mengesahkan litar elektrik pada suis utama bangunan  tahfiz  tersebut berkeadaan baik.

kebakaran pusat tahfiz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain