KUALA LUMPUR: Penduduk di tiga kawasan perumahan di Cheras, di sini mendakwa sukar mendapat perkhidmatan bas awam berikutan stesen bas Taman Mutiara hanya beroperasi untuk bas perantara Mass Rapid Transit (MRT). Mereka mendakwa bas RapidKL yang sebelum ini berhenti di stesen itu kini tidak lagi berbuat demikian selepas MRT Sungai Buloh-Kajang mula beroperasi sepenuhnya pada Julai lalu. Kawasan-kawasan perumahan yang terlibat adalah di Taman Desa Aman, Taman Gemilang dan Taman Mutiara Timur. Warga emas Lai Choi Choo, 78, berkata dia terpaksa berjalan kaki sejauh satu kilometer dari Taman Desa Aman ke jejantas stesen bas di hadapan Leisure Mall untuk menaiki bas ke Pudu. "Setiap hari saya terpaksa membawa beg berat dan berjalan jauh melalui kawasan aliran trafik yang banyak dan itu membahayakan warga emas dan pelajar sekolah pada waktu puncak," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat. Suri rumah Chua Siew Kuen, 70, berharap bas Rapid KL dapat mengubah laluan dengan berhenti di stesen bas MRT Taman Mutiara bagi memudahkan penduduk di kawasan perumahan berdekatan menggunakan perkhidmatan bas. "Pelbagai aduan telah diutarakan kepada pihak Rapid KL melalui surat, telefon dan laman web tetapi tidak diendahkan dan tindakan juga tidak diambil," katanya. Peniaga Robert Shum, 49, berkata anaknya yang berusia 17 tahun hampir diragut ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Gemilang menuju ke stesen bas tersebut untuk ke sekolah walaupun pada waktu siang. "Kes ragut sering berlaku di kawasan ini terutamanya berhampiran stesen MRT Taman Mutiara kerana kawasan ini merupakan tumpuan penduduk untuk menaiki pengangkutan awam," katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita MCA Wilayah Persekutuan Heng Sinn Yee berkata pihaknya telah memanjangkan isu tersebut kepada pihak Rapid KL untuk tindakan lanjut. "Kami mencadangkan kepada pihak Rapid KL untuk mengubah laluan dan meminta supaya bas laluan utama berhenti di stesen bas MRT Taman Mutiara bagi kemudahan penduduk sekitar terutamanya kepada warga emas. "Selain itu, kami turut mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membina laluan pejalan kaki berbumbung yang selamat dari kawasan perumahan berdekatan ke stesen MRT Taman Mutiara demi keselamatan penduduk," katanya. - Bernama