suria

Susu Ibu Kering, Rayu Bantuan Makanan Segera

-foto NGO Serantau Muslim

HATI siapa yang tidak tersentuh apabila melihat kehadiran beberapa bayi yang lemah dan lesu.

Bayi-bayi ini yang sepatutnya mendapat khasiat dari susu ibu, tetapi apakan daya, si ibu tidak mampu untuk memenuhi tuntutan itu.

Menurut si ibu, dia tidak dapat memberi bayinya susu badan kerana susunya kering disebabkan dia sendiri tidak makan sejak beberapa hari.

"Atas sebab itu, setelah melihat sendiri keadaan para pelarian ini, dapat disimpulkan bantuan kecemasan yang paling diperlukan adalah makanan.

"Dianggarkan seramai 500,000 pelarian baru tiba dalam tempoh seminggu kebelakangan ini. Kebanyakan mereka hadir dalam keadaan sehelai sepinggang sahaja,” demikian menurut Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) Hakim Mohd Nor.

Serantau Muslim kini berada di sempadan di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Hakim berkata pihaknya yang tiba di sana tiga hari lalu telah menyampaikan pakej bantuan makanan sebanyak 500 unit.

"Sebaik sahaja kami tiba di khemah pelarian, kami telah diserbu dan dikerumuni ribuan pelarian dan semuanya meminta perkara yang sama, iaitu makanan. Keadaan di kem ini sangat menyedihkan kerana terlalu ramai pelarian yang baru tiba tanpa sebarang kelengkapan hidup.

"Pakej bantuan makanan yang berupa beras, kacang dhal, minyak masak, ubi kentang dan garam itu telah disampaikan kepada 500 buah keluarga yang mendiami di Kem Tankhali, Teknaf di mana penerimanya adalah 100 peratus pelarian yang baru tiba kurang daripada seminggu,” katanya kepada Sinar Online.

Serantau Muslim dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan SINAR4ROHINGYA yang mewakili gabungan NGO tempatan dan antarabangsa telah memasuki kem pelarian Rohingya.

susu ibu, Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain