KUALA LUMPUR: Selepas lima tahun bersama pembangkang dan menganggap perjuangannya hanya sia-sia, Tan Sri Muhammad Muhd Taib kembali menyertai Umno. Perkembangan terkini itu diumumkan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media khas yang diadakan pada Ahad petang di ibu pejabat Umno. Menurut bekas Menteri Besar Selangor selama 11 tahun itu, tiadanya agenda Melayu yang dibincangkan pada mesyuarat PKR yang dihadiri telah mendorong beliau untuk kembali kepada Umno. "Jika mesyuarat parti itu tidak dibincangkan agenda Melayu, tentunya akan hilang perjuangan agama (Islam) sendiri. "Jadi, tidak ada jalan lain selain Umno yang akan sentiasa perjuangkan kepentingan Melayu dan itulah minat saya sebenarnya berjuang untuk memajukan bangsa," katanya yang turut berterima kasih kepada perdana menteri kerana sudi menerimanya kembali dalam perjuangan Umno. Malahan, Muhammad juga berjanji untuk bersama pemimpin Umno terutama di Selangor untuk mengembalikan kepentingan Melayu yang diketepikan selama ini. "Nampak gah tetapi sebenarnya untuk Melayu banyak rugi apabila bersama parti yang memerintah (Selangor) sekarang," katanya yang mengimbau hilangnya kuasa pemimpin Melayu akibat perpecahan pada 1511. Selama 450 tahun orang Melayu hilang kuasa sehingga mencapai kemerdekaan pada 1957, beliau menganggap ia seharusnya menjadi iktibar untuk Melayu bersatu untuk terus kukuh. "Tapi akhir-akhir ini suasana perpecahan itu ribut balik, saya bimbang ada pihak ambil kesempatan atas perpecahan orang Melayu dan ambil peluang dan dapatkan kuasa ini," katanya. Terdahulu pada sidang media sama, Najib berkata, kesedaran dan keikhlasannya terhadap perjuangan Melayu antara faktor veteran Umno itu membuat keputusan itu. "Bukan soal jawatan tetapi niatnya ikhlas semata-mata kerana perjuangan. "Beliau sedar perjuangan pembangkang khususnya PKR amat sia-sia dan sangat bertentangan dengan jiwa dan semangat yang ada padanya, sebab itulah Allah membuka hatinya untuk kembali menyertai Umno," katanya. Malahan, Najib yakin dan percaya penyertaan semula Muhammad akan mengukuhkan Umno, lebih-lebih kerana beliau berikrar untuk berjuang bersama-sama bagi menjamin kejayaan parti Umno dan Barisan Nasional.