SARIKEI: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 480 tahun dan 18 sebatan kerana merogol anak perempuannya yang masih dibawah umur. Hakim Mahkamah Sesyen Maris Agan mengarahkan Baling Jimbai dari Rumah Jugah, Sungai Bulat dihukum penjara 30 tahun untuk setiap 16 pertuduhan rogol yang dilakukannya. Maris turut mengarahkan hukuman itu dijalankan secara serentak. Mengikut fakta kes itu, tertuduh melakukan kesalahan tersebut di rumahnya pada Januari hingga Disember 2016 dan dari Julai hingga akhir Ogos lalu. Mangsa berkongsi bilik tidur sama dengan ibu bapanya dan adiknya berusia dua tahun manakala dua abangnya tidur di bilik berasingan. Tindakan bapanya itu terbongkar pada 6 September lalu selepas mangsa disahkan ada ketumbuhan di bahagian ovari dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan salah satu ovarinya. Mangsa turut mengadu perbuatan bapanya kepada seorang guru sebulan selepas mendiamkan diri kerana diugut suspek. Doktor turut mengesahkan mangsa mengalami kesan koyakan lama di selaput daranya.