suria

“Maaf YB, Hari Ni Saya Tak Bawa Kuih Kapit”

Muhd Farid (kiri) dalam satu pertemuan bersama Khairy (dua, kiri) dan isteri, Nori Tun Abdullah (dua, kanan) dan anak kedua pasangan itu, Timor.

PETALING JAYA: Berdepan dengan figura yang mendapat jolokan ‘tall, dark and handsome’ (tinggi, berkulit gelap dan tampan) membuatkan pelajar autisme ini tergamam.

Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana darahnya gemuruh semasa menerima kejutan yang tidak pernah disangka-sangka dan berlaku secara kebetulan itu.

Selepas hampir dua bulan, hasratnya untuk bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ tertunai pada Selasa.

Pertemuan tidak dirancang itu berlaku semasa Muhd Farid Fakhruddin Md Fauzan, 19, hadir pada acara sukan sempena Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur.

“Saya betul-betul tak sangka dapat jumpa YB KJ. Rasa gementar sangat sebab selama ni tengok YB kat laman sosial dan televisyen. 

"Kali ni jumpa beliau depan mata. Saya sampai sekarang terkejut, macam tak percaya,” katanya kepada mStar Online.

Hasrat Muhd Farid (kiri) untuk bertemu dengan Khairy akhirnya tertunai.

Julai lalu, Muhd Farid pernah menyuarakan hasratnya untuk berjumpa dengan Khairy dan ia dikongsikan di laman sosial.

Khairy, hanya dalam masa sejam, memberi respons untuk merealisasikannya.

Artikel berkaitan: YB KJ, Tunggu Saya Bawa Kuih Kapit!

Muhd Farid yang merupakan pelajar semester dua Sijil Asas Kulinari di Kolej Komuniti Selayang berkata, pertemuan singkat kira-kira 10 minit itu cukup bermakna, dan Khairy lebih banyak mengambil tahu mengenai jurusan yang dipelajarinya.

Khairy turut memperkenalkan anak keduanya, Timor Abdullah atau nama panggilannya Puma, 9, yang juga menghidap autisme kepada Muhd Farid. 

Bagaimanapun anak muda yang menjalani latihan amali di kafe Inspired Kitchen di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya ini terkilan kerana tidak berpeluang untuk memberikan kuih kapit kepada Ahli Parlimen Rembau itu seperti yang dirancang.

“Maaf YB KJ, hari ni saya tak bawa kuih kapit. Kalau saya tahu dapat jumpa lagi, saya bawa khas nanti. Terima kasih YB KJ!,” katanya dengan nada teruja.

Sementara itu, Kaunselor Kolej Komuniti Selayang, Airene Abdullah berkata, Muhd Farid menyertai rombongan seramai 38 pelajar termasuk tiga pegawai bagi menyokong pasukan negara dalam acara sukan boccia dan bola tampar duduk.

Dari kiri: Muhd Fairi, Khairy dan Airene.

Airene menjelaskan bahawa pihaknya hanya menyedari kehadiran Khairy sebaik sahaja mereka berada di Mitec pagi Selasa dan menggunakan peluang keemasan itu untuk menunaikan impian Muhd Farid.

“Alhamdulillah, pegawai KBS (Kementerian Belia dan Sukan) diberitahu tentang kisah Muhd Farid yang mahu berjumpa YB KJ sehingga tular, dan memenuhi permintaan kami,” katanya yang berkhidmat di kolej itu sejak lapan tahun lalu.

Menurut Airene, Muhd Farid beberapa kali bertanyakan tentang kuih kapit seperti yang dijanjikan tetapi difahamkan satu pertemuan susulan bakal diadakan bagi membolehkan Muhd Farid menyempurnakan hasrat itu.

“Apapun, bagi pihak Muhd Farid dan seluruh Kolej Komuniti Selayang, kami berterima kasih kepada YB KJ dan semua pihak yang membantu menunaikan hasrat pelajar ini,” katanya sambil menyifatkan Muhd Farid seorang yang agak sensitif tetapi pembersih dan mementingkan kesempurnaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan