PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan terima kasih kepada doktor dan semua pihak yang mendoakan kesihatan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Presiden PKR itu berkata Anwar dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 2 petang Selasa kerana tekanan darah yang kurang stabil. Namun katanya, keadaan Anwar sudah kembali terkawal. "Dari semasa ke semasa, Anwar akan dibawa ke HKL untuk beberapa hari bagi tujuan pemeriksaan yang dijadualkan, serta untuk pemantauan dan rawatan oktor pakar yang ditugas menjaga kesihatan beliau. "Bagi pihak Anwar dan keluarga, saya ingin ucapkan terima kasih kepada para doktor dan semua pihak yang mendoakan kesihatannya," kata Wan Azizah. Pada petang Rabu, Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain turut mengesahkan Anwar dibawa ke hospital tersebut untuk menjalani pemeriksaan berjadual. Beliau berkata Anwar tidak mengalami masalah kesihatan cuma akan berada di hospital itu untuk beberapa hari bagi pemeriksaan yang akan dikendalikan oleh sepasukan pakar.