SUNGAI PETANI: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila wang bernilai lebih RM2,000 yang disimpannya di dalam beg sampah dibuang secara tidak tersengaja. Namun kejujuran sembilan kakitangan syarikat pembersihan yang diminta membersihkan halaman rumah wanita itu membantunya mendapatkan semula wang tersebut. Kesemua pekerja itu memunggah satu persatu timbunan sampah di pusat pelupusan sampah di Pulai sehingga membawa kepada penemuan wang tersebut. Kemudian mereka pergi ke rumah Aminah Yahya, 60, di Kupang dekat Baling dan menyerahkan wang berjumlah RM2,379.80 kepadanya. Aminah menarik nafas lega selepas wangnya dapat ditemui semula. Ketua Unit E-Idaman, Baling, Shazwan Shahbudin berkata Aminah sudah tentu menyimpan wang tersebut dalam tempoh yang agak lama. "Semua wang dalam beg sampah itu sudah pudar dan ada yang berkulat. Jadi kami fikir dia menyimpan wang itu selama bertahun-tahun lamanya. "Kami diberitahu bahawa Aminah suka mengumpul barang-barang lama dan menyimpannya di tempat halaman rumahnya. "Anak lelakinya di Kuala Lumpur menghubungi syarikat kami meminta bantuan untuk membersihkan beg sampah dan bahan kitar semula di halaman rumah ibunya," kata Shazwan. Beliau berkata sembilan kakitangan syarikat itu turut mendapat pujian ramai di atas kejujuran mereka.