suria

Wanita Muslimah Curi Tumpuan Ketika Berdepan David Beckham

PETALING JAYA: Berjumpa dengan legenda bola sepak Manchester United, David Beckham mungkin peluang sekali seumur hidup.

Walaupun berusia 42 tahun dan bapa kepada empat anak, suami kepada Victoria, ahli kumpulan Spice Girls itu masih tampan dan segak bergaya.

Bekas pemain Real Madrid itu sentiasa menjadi buruan paparazi dan kehadirannya di khalayak pastinya didengari jeritan ‘histeria’ peminat fanatik terutama dalam kalangan gadis.

Beckham datang ke Malaysia sempena program eksklusif AIA Vitality Wellness Festival, susulan pelantikannya sebagai Duta Global AIA pada Mac lalu. 

Orang ramai tidak mahu melepaskan peluang untuk bersalam dengan David Beckham di pusat membeli-belah Pavilion pada Jumaat.

Dalam satu majlis di pusat membeli-belah Pavilion di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Jumaat, Beckham dilihat bersalaman dengan beberapa individu di atas pentas.

Namun seorang wanita tempatan mencuri tumpuan apabila dia tidak berjabat tangan yang dihulurkan Beckham.

Bertudung hijau dan berbaju hitam lengan panjang, wanita tersebut menolaknya secara baik demi menjaga batasnya sebagai wanita Muslimah.

Berdasarkan reaksi wajah Beckham, bintang pujaan ramai berkenaan juga bersikap profesional apabila masih tersenyum sambil mengangguk tanda faham.

Tindakan wanita itu mendapat pujian netizen yang menyifatkan ia wajar dicontohi.

Seorang netizen berkata: “Walaupun dapat salam percuma dengan Beckham, dia tetap ingat batasannya sebagai perempuan."

“Tak ada benda yang nak dimalukan pun sebenarnya kalau orang tak sambut salam kita atas sebab bukan mahram,” kata seorang lagi netizen.

“Berkat ajaran orang tuanya, hebat ibu bapanya mendidik adik tersebut,” kata netizen, malah dikatakan sebagai sesuai dijadikan calon isteri kerana menjaga tatatertib.

Syabas buat wanita berkenaan, walaupun tegas dengan pendiriannya, dia tetap bertuah kerana berpeluang bertemu dan bergambar dengan Beckham.

David Beckham

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain