suria

Jeritan 'Api' Selamatkan Penduduk Wakaf Mek Zainab

KOTA BHARU: Jeritan penduduk menyedarkan seorang remaja dan beberapa penduduk di Wakaf Mek Zainab di sini daripada tidur ketika api sedang marak membakar 20 unit rumah setinggan di kawasan itu awal pagi Sabtu.

Aliff Zaquan Abdullah, 16, berkata ketika kejadian beliau bersama ibu dan tiga adiknya sedang tidur dan menyedari tentang kebakaran itu selepas terdengar bunyi bising jeritan daripada jirannya yang mengatakan rumah di sebelah sedang terbakar.

Katanya sebaik terjaga beliau terus membuka tingkap di bahagian dapur rumahnya dan mendapati sebuah rumah yang dihuni oleh seorang lelaki kurang siuman sedang terbakar.

"Saya segera mengejutkan ibu, Nik Irna Mas Idayu Che Mahmud, 34, dan membawa keluar adik-adik yang berusia satu hingga enam tahun menyelamatkan diri.Saya hanya sempat menyelamatkan dompet dan telefon bimbit sahaja kerana mahu cepat keluar daripada rumah," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini, Sabtu.

Seorang lagi mangsa, Mek Wok Che Ibrahim, 73, berkata beliau yang tidak dapat berjalan dan berkerusi roda bernasib baik kerana diselamatkan oleh cucunya yang tinggal bersama.

Mek Wok berkata beliau kerugian puluhan ribu ringgit apabila kedai runcit yang diusahakan bersama anggota keluarganya yang lain turut musnah dalam kejadian tersebut.

"Saya menetap di sini lebih 50 tahun dan ini adalah kali pertama kejadian seumpama ini menimpa penghuni di sini.Syukurlah kesemua anggota keluarga saya selamat. Selepas ini saya terpaksa menumpang di rumah sanak-saudara yang tinggal berdekatan," katanya.

Kejadian pada 2.45 pagi Sabtu menyebabkan 20 unit rumah setinggan di Wakaf Mek Zainab di sini musnah dalam kebakaran itu. - BERNAMA

kebakaran, Wakaf Mek Zainab

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain