KUALA LUMPUR: "Ingat senang ke nak dapat jemputan daripada presiden Amerika Syarikat," demikian kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Malahan, beliau adalah perdana menteri Malaysia pertama dijemput ke AS pada tahun pertama Donald Trump dilantik mengisi jawatan itu. Sehubungan itu, katanya, tidak seharusnya ada pihak yang bertindak memutar belitkan kenyataan beliau. "Kenyataan saya disalahertikan, dikilas. Contohnya apabila saya cakap dengan Trump saya ke sana untuk kukuhkan ekonomi AS, bukan bermakna Malaysia jadi penyumbang ekonomi negara itu tanpa kita peroleh apa-apa, malahan kita bukannya melutut tetapi hadir sebagai negara berjaya. "Jangan salah inteprestasi kenyataan saya jadi sempit, negatif," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang Perdana Menteri Bersama Pengamal Media Wanita Malaysia anjuran Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama). Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden Pertama, Sariha Mohd Ali. Menurut Najib, situasi itu adalah cabaran yang dihadapi kerajaan ekoran penyebaran berita palsu susulan perkembangan media dalam talian. "MAS memilih Boeing dan kita nak beli pesawat Boeing ini kerana berhasrat untuk menjadikan MAS sebagai syarikat penerbangan peringkat antarabangsa," katanya. Dalam hal ini, katanya, media dapat memainkan peranan untuk meningkatkan kesedaran berhubung dasar dan agenda pembangunan negara bagi mengelak berdepan penyebaran berita palsu. "Media perlu bertindak tangkas menangani penyebaran berita yang dirancang supaya mencetuskan kebencian rakyat terhadap kerajaan," katanya. Selain itu, kata Najib, wanita negara ini perlu lebih kreatif dalam membantu menyumbang untuk ekonomi keluarga dan negara. "Kerja dari rumah secara online misalnya dapat menambah pendapatan, bukan sekadar menjual keropok di rumah atau pasar tani tapi melangkah lebih jauh," katanya seiring tema Hari Wanita yang mendorong kaum Hawa supaya berani berubah. Sementara itu, Sariha dalam ucapan alu-aluanya berkata, seiring peredaran zaman, Pertama merancang untuk menganjurkan kursus berkaitan teknologi terkini dalam penghasilan bahan berita.