suria

Tragedi Tahfiz: “Dia Seorang Perahsia”

(Kiri) Gambar kenangan Emiz Fariza Surihani dan kedua-dua anaknya yang terkorban dalam kebakaran pusat tahfiz DQI pada 14 September lalu. (Kanan) Mohamed Nizam ketika ditemui di pejabatnya pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Tiada siapa dapat melupakan tragedi menyayat hati yang meragut 23 nyawa penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) pada 14 September lalu.

Suasana suram menyelubungi negara pada awal pagi Khamis itu kerana 21 daripada mangsa yang terlibat merupakan pelajar yang masih kecil.

Kehilangan mereka bukan sahaja ditangisi dalam kalangan waris mangsa, malahan seluruh rakyat negara ini.

Rasa hiba turut menyentuh jiwa Pengarah Eksekutif di syarikat tekstil terkemuka Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel kerana tidak menyangka dua daripada mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran itu adalah anak kepada seorang kakitangannya.

Kanak-kanak malang itu bernama Azkar Abiedi F. Zaska dan Azkar Dariemi F. Zaska.

Mohamed Nizam turut mengiringi keluarga mangsa untuk memberikan penghormatan terakhir kepada anak Emi Fariza Surihani yang terkorban.

"Saya mengetahui tentang tragedi itu melalui Whatsapp pada pukul 6.20 pagi ketika berada di rumah di Taman Tun Abdul Razak.

"Saya sangat terkejut, tergamam dan 'blur' kerana tidak percaya ia telah menimpa kakitangan saya," katanya ketika ditemui mStar Online di pejabatnya pada Jumaat.

Kata Mohamed Nizam, beliau terus bergegas ke lokasi kejadian bersama abangnya,  Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel pada pukul 9.40 pagi (hari kejadian) untuk bertemu ibu mangsa, Emi Fariza Surihani Aziz, 34.

Jelasnya, hanya kira-kira 10 minit kemudian baru beliau dan abangnya mengetahui bahawa anak kakitangannya itu disahkan terkorban bersama seorang lagi sepupu mereka.

"Pada pukul 11 pagi, saya berhubung dengan kakitangan itu dan memberikan dorongan kepadanya di atas apa yang telah berlaku.

"Saya masih tidak boleh melupakan kedua-dua beradik itu kerana pernah bertemu mereka beberapa tahun lalu.

"Saya terbayang bagaimana saya akan lalui kehidupan ini jika perkara tersebut menimpa keluarga saya. Ini kerana anak-anak itu sebaya anak saya," kongsinya.

Naluri kebapaan Mohamed Nizam cukup terkesan menerima berita kehilangan anak pekerjanya yang sebaya dengan anak-anaknya. - Instagram/nizamjakel

Suasana di Jakel Mall turut bertukar hiba kerana Emi Fariza Surihani merupakan kakitangan yang cukup mesra dengan rakan sekerja yang lain dan gemar mencurahkan nasihat kepada kakitangan baharu sekiranya kekok ketika bertugas.

Tambah Mohamed Nizam, pekerjanya yang mesra dipanggil Emi itu juga seorang yang perahsia dan tidak pernah membawa masalah peribadi ke tempat kerja.

"Kalau kita tengok dia, kita tak tahu dia ada masalah biarpun terpaksa menyara hidup tiga anaknya kerana berstatus ibu tunggal sejak setahun lalu.

Mohamed Nizam memuat naik paparan pesanan Whatsapp yang dikirim ibu mangsa bagi memaklumkan dia masih tidak boleh hadir bekerja seperti biasa.

Menurut beliau, pekerjanya itu belum mula bekerja sejak kejadian tersebut berlaku kerana masih trauma.

Pihaknya sentiasa memberikan secukup-cukup perhatian kepada Emi Fariza Surihani dan berhasrat untuk menanggung kebajikan pekerjanya itu secara berterusan pada masa akan datang.

Pada 14 September lepas, seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz DQI terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat tiga terbakar pada 5.15 pagi, Khamis lepas.

Tragedi Tahfiz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain