KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi lemah dilaporkan berlaku di 35km timur laut Tongod, Sabah pada 8.25 pagi Ahad. Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dalam kenyataan media pada Ahad memaklumkan gempa bumi berukuran 3.8 pada skala Richter mungkin dirasai gegarannya di sekitar kawasan Tongod dan Beluran, Sabah. JMM turut memaklumkan satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter melanda Mindanao, Filipina, 49km barat daya Bandar Valencia, Filipina dan 752km timur Laut Kinabatangan, Sabah. Kejadian pada 4.47 pagi tadi bagaimanapun tidak memberi ancaman tsunami, menurut jabatan itu. - Bernama