MIRI: Polis Sarawak sedang menyiasat dua kes berasingan melibatkan pelajar perempuan berusia 13 tahun yang didakwa dipaksa melakukan aksi seks bagi mendapatkan wang. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar berkata, polis Miri telah menahan seorang lelaki pertengahan umur kerana didakwa menggunakan salah seorang remaja tersebut untuk seks. Lelaki yang berusia 30 tahun itu ditahan pada Isnin dan direman di balai polis Miri. Polis juga sedang menyiasat seorang warga emas berusia 80 tahun yang didakwa pernah melakukan hubungan seks dengan kedua-dua gadis terbabit dalam dua kejadian berasingan. Terdapat dakwaan mengaitkan warga emas tersebut berpangkat "datuk". Dev berkata, pihak polis menjalankan siasatan selepas menerima laporan yang dibuat oleh ibu bapa gadis-gadis tersebut. "Kami sedang siasat sama ada betul atau tidak dia berpangkat "datuk", dan adakah dia pernah menjadi pelanggan remaja terbabit," katanya yang menambah lelaki tersebut belum ditahan. "Kes seperti ini jika sah berlaku, dikelaskan sebagai kes rogol kerana melibatkan gadis bawah umur," ujarnya.