KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu berjaya menumpaskan 'Geng Botak' yang aktif dalam kegiataan samun dan pemerasan di sekitar daerah ini selepas tertangkapnya sembilan lelaki dalam Op Samun dijalankan di beberapa lokasi berasingan, baru-baru ini. Ketua Polis Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata dengan penahanan kesemua suspek masing-masing empat warga tempatan dan lima warga asing berumur antara 17 hingga 42 tahun itu, polis percaya telah menyelesaikan sembilan kes samun dan pemerasan oleh geng tersebut sejak Julai lepas. "Bertindak atas maklumat, polis telah menahan kesemua suspek dalam lapan serbuan yang dijalankan pada 18 hingga 21 September lepas di sekitar Kampung Air; Asia City; One Borneo, Pekan Menggatal dan Kota Kinabalu. "Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Viva berwarna putih dengan nombor pendaftaran palsu yang digunakan untuk melakukan jenayah, 13 telefon bimbit, tiga komputer riba dan dua bentuk cincin emas. Anggaran nilai rampasan RM35,000," katanya dalam kenyataan pada Selasa. Chandra berkata tujuh daripada suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau. Dalam pada itu, Chandra menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah penjenayah sebaliknya menjauhkan diri daripada orang yang mencurigakan dan jangan berjalan seorang diri di tempat sunyi bagi mengelakkan jenayah samun. "Orang ramai juga disarankan supaya memaklumkan segera kepada pihak polis jika dihampiri oleh mana-mana individu yang mencurigakan selain membuat pengcaman penjenayah seperti rupa, pakaian, kenderaan dan sebagainya untuk membantu polis membuat siasatan," katanya. - BERNAMA