KEPALA BATAS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang Setiausaha Politik sebuah kementerian bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan yang disalurkan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK). Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata SPRM telah menahan setiausaha berkenaan pada 12.30 tengah Rabu dan individu berkenaan akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan badan itu menjalankan siasatan dengan lebih lanjut. "Sebelum ini, kita telah menangkap empat orang berhubung perkara sama penyelewengan wang PTPK yang mana kesemua individu terbabit telah pun direman dan dibebaskan dengan jaminan SPRM. "Hari ini SPRM telah membuat tangkapan terhadap seorang lagi yang merupakan Setiausaha Politik sebuah kementerian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Kembara Jelajah Anti-Rasuah 2017' (Kejar‘17) peringkat negeri Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan Hashim Awang di sini, Rabu. Dzulkifli berkata setiausaha terbabit merupakan individu kelima yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang peruntukan tersebut. Menurut sumber SPRM, individu berkenaan yang berumur 61 tahun itu merupakan ahli biasa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Serian, Sarawak. "Individu itu ditahan oleh SPRM ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada jam 12.30 tengah hari ini, " kata sumber itu. Pada 13 September lalu, SPRM telah menahan empat individu kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan. Mereka yang ditahan adalah seorang ketua eksekutif bergelar Datuk berumur 58 tahun ditahan bersama-sama setiausaha perbadanan berumur 34 tahun, penolong pegawai kewangan berumur 32 tahun dan pengarah sebuah syarikat yang bergelar doktor berumur 38 tahun di beberapa lokasi di ibu negara dalam operasi khas SPRM. Bagaimanapun, kesemua individu terbabit yang direman enam hari bermula 14 Sept lalu masing-masing telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.-- Bernama