suria

Daftar Pemilih Dalam Talian, Media Sosial Tidak Sah

PUTRAJAYA: "Pendaftaran pemilih secara dalam talian atau melalui aplikasi media sosial adalah tidak dibenarkan dan tidak sah," kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Sejak kebelakangan ini, katanya, terdapat pihak menyebarkan maklumat kononnya pendaftaran pemilih boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui aplikasi media sosial dengan hanya menghantar gambar kad pengenalan MyKad mereka ke nombor talian telefon tertentu dan mereka akan didaftarkan segera sebagai pemilih.

"SPR ingin menegaskan bahawa kaedah itu adalah tidak dibenarkan dan tidak sah,” katanya dalam kenyataan, Khamis.

Mohd Hashim menegaskan bahawa kaedah pendaftaran yang diguna pakai sekarang memerlukan individu itu hadir sendiri ke kaunter pendaftaran SPR atau mana-mana kaunter pejabat pos berkomputer atau melalui Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik oleh SPR.

Mereka perlu membawa bersama MyKad yang asal, mengisi Borang A dan menandatangani borang tersebut, katanya.

"Setelah mendaftar sebagai pemilih, pemohon sepatutnya menerima salinan Borang A bagi urusan sekiranya untuk membuat tuntutan jika permohonannya tidak diterima atau diproses oleh SPR.

"Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan mesej yang ditularkan itu kerana dibimbangi maklumat peribadi mereka akan disalahgunakan untuk tujuan lain oleh pihak terbabit,” katanya.

Beliau turut mengingatkan PPP yang dilantik agar tidak terlibat dalam menjalankan kaedah pendaftaran yang melanggar Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 kerana SPR tidak akan teragak-agak untuk menamatkan pelantikan  mereka dengan serta merta.

Mohd Hashim menasihatkan warganegara yang masih belum mendaftar sebagai pemilih agar mengambil peluang mendaftar dengan segera tanpa menunggu di saat akhir.

"Mendaftar sebagai pemilih dan mengundi semasa pilihan raya adalah tanggungjawab sebagai seorang warganegara,” katanya. - Bernama

SPR, Hashim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Penagih Dadah Pukul Isteri

Artikel Lain