IPOH: Insiden kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, dekat Sitiawan di sini, petang Jumaat kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee berkata keputusan bedah siasat yang dilakukan ke atas Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati terdapat kesan penderaan dan kecederaan pada tubuh mereka. "Hasil bedah siasat terhadap mangsa pertama (Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28) pada jam 3.30 petang hingga 7 malam mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul. "Bedah siasat terhadap mangsa kedua (Muhammad Lailatulman Mohd Sukri,26) pada jam 9 malam hingga 11.50 malam mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut," katanya dalam satu kenyataan di sini malam Sabtu. Sebelum itu, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Tian Kee berkata, daripada penemuan itu polis menahan tiga suspek lelaki berusia antara 29 hingga 44 tahun pada 9.30 malam Sabtu bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu. "Ketiga-tiga suspek bertugas pada pukul 10 pagi hingga 10 malam Jumaat. "Polis turut merakam kenyataan 11 pengawal yang bertugas di bilik tahanan berkenaan serta merampas set litar rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tujuh T baton, buku log bertugas dan beberapa telefon bimbit," katanya.